Abdul Rahman Dahlan tarik diri calon BN kerusi DUN Tempasuk

Abdul Rahman Dahlan tarik diri calon BN kerusi DUN Tempasuk

ABDUL RAHMAN DAHLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bakal calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini.

Abdul Rahman berkata, beliau sudah memaklumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengenai hasratnya tidak bertanding DUN Tempasuk.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya telah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad  Zahid Hamidi, mengenai hasrat saya untuk tidak meneruskan pencalonan saya untuk DUN Tempasuk.

“Saya memberitahu Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baru dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk,” katanya menerusi kenyataan di sini sebentar tadi.

Abdul Rahman bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud iaitu pada 2013, 2018 dan 2022.

Katanya, dalam penyertaan pilihan raya itu, beliau menang dua kali dan tewas sekali.

“Dalam tiga pertandingan itu, UMNO memenangi undi di DUN Tempasuk, walaupun kalah di kerusi Parlimen Kota Belud.

“Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab sebagai calon dengan cemerlang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sebagai ahli parti, beliau akan terus membantu parti melalui kapasiti yang lain.

Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada parti dan Ahmad Zahid yang mengumumkan pencalonannya pada 9 November lalu. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO DUN Tempasuk atas sokongan yang diberikan kepadanya selama ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×