APABILA dunia menjadi semakin kompleks, peranan profesor tidak boleh lagi hanya ibarat penyelam dasar dalam kolam sempit disiplin sendiri. Ia mesti berkembang menjadi jurutera jambatan dengan menghubungkan ilmu mendalam dengan realiti dunia yang semakin rencam.
Beberapa hari lalu, heboh tentang seorang profesor yang dikritik kerana mengemukakan dakwaan sejarah yang dilihat melawan arus fahaman umum.
Antara reaksi pantas yang muncul terhadap kenyataan tersebut adalah ‘itu bukan bidang dia maka tidak layak untuk memberikan pandangan.’
Kenyatan ini mendedahkan tabiat lama akademia iaitu menegakkan sempadan ilmu yang sebenarnya hanya memperkukuhkan fragmentasi ilmu. Ini berlawanan dengan epistemologi ilmu iaitu holistik dan menyatu sifatnya. Ini bukan bermakna kita tidak menghormati bidang kepakaran.
Kita masih dan mesti menghormati disiplin dan rigour akademi yakni metodologi penelitian yang kukuh, proses semakan rakan sebidang, penilaian bukti dan sebagainya. Tanpanya pasti kita mudah hanyut dalam dakwaan sensasi.
Namun berpegang kepada rigour tidak bererti memenjarakan ilmu dalam silo. Dunia tidak bergerak mengikut dan berdasarkan silo atau fragmentasi ilmu. Pembahagian ilmu mengikut disiplin seperti yang ada kini boleh dilihat sebagai suatu yang ‘palsu’.
Edward O. Wilson melihat fragmentasi ilmu ini sebagai krisis besar intelektual dan ‘artifak intektual’ ini sebagai kesan sampingan daripada kepakaran yang terlalu terpecah. Dalam bukunya, Consilience: The Unity of Knowledge (1998), Wilson berhujah ledakan penguasaan intelektual menggalakkan pengkhususan dan membahagi-bahagikan ilmu secara ‘tiruan’ kepada disiplin yang terasing (sains, sains sosial dan kemanusiaan).
Fragmentasi inilah yang menghalang kefahaman holistik tentang dunia dan menumpulkan upaya sarjana menangani cabaran global yang kompleks.
Matlamat Wilson ialah penyatuan progresif segala untaian ilmu. Dengan itu, manusia akan memahami siapa kita dan mengapa kita di sini dengan lebih mendalam, sambil memperoleh kebijaksanaan untuk membuat pilihan yang benar demi masa hadapan insan dan alam sekitar.
Dalam Islam lebih jelas, epistemologi tauhid jelas menuntut kesatuan ilmu. Inilah yang sedang menjadi teras perjuangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mengembalikan proses keilmuwan sebenar.
Pendekatan ini terbukti dalam kalangan ilmuwan Islam seperti Ibn Khaldun dan al-Biruni yang menggabungkan sejarah, sains, falsafah dan agama secara ketat metodologinya.
Dalam hal pemisahan ilmu ini juga, C. P. Snow menegur jurang ‘dua budaya’ iaitu sains dan kemanusiaan yang melemahkan upaya menyelesaikan masalah nyata (The Two Cultures, 1959).
Ernest L. Boyer pula menawarkan definisi keilmuwan yang lebih luas bukan sekadar penemuan tetapi juga pengintegrasian, pengajaran dan aplikasi (Scholarship Reconsidered, 1990).
Jerome Kagan pula menambah sebuah lapis penting iaitu kewujudan tiga budaya iaitu sains tabii, sains sosial dan kemanusiaan. Masing-masing dengan kosa kata dan orientasi moral berbeza.
Maka profesor malah sarjana abad ini mesti ‘trilingual’ intelektualnya iaitu mampu menterjemah di antara ketiga-tiganya (The Three Cultures, 2009).
Di gelanggang pengeluaran ilmu, Michael Gibbons dan rakan-rakan memperkenalkan Mod 2 pengetahuan yang terhasil dalam konteks penggunaan, rentas disiplin dan berinteraksi rapat dengan masyarakat (The New Production of Knowledge, 1994).
Lebih terkini, Elias G. Carayannis & David F. J. Campbell mengemukakan Mod 3 pengetahuan di mana inovasi berlaku dalam ekosistem Quadruple Helix – universiti, industri, kerajaan dan masyarakat sivil dengan maklum balas awam dan akauntabiliti sosial sebagai DNA inovasi (Mode 3 Knowledge Production in Quadruple Helix Innovation Systems, 2012).
Maka, melihat kepada realiti semasa, dasar pendidikan, perubahan iklim, sejarah maritim, teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semuanya sangat saling terkait, jika profesor hanya “berprofes” kepada kumpulan kecil dalam bilik seminar, apa ertinya profesor kepada khalayak besar di luar kampus? Apalah faedahnya ilmu yang semakin hebat atau semakin besar sedangkan manfaat semakin mengecil?
ZAMAN KELESTARIAN
Kita hidup dalam zaman di mana kelestarian menjadi kata kunci dan rujukan global menyatukan pelbagai perbezaan selama ini. Isu iklim, biodiversiti, kesihatan awam, keadilan sosial, ekonomi digital semuanya bersifat ‘wicked’ yang melintasi sempadan disiplin. Di sinilah penting proses penyatuan ilmu melalui proses:
- Multidisiplin: Pelbagai disiplin duduk sejajar tetapi bekerja sendiri memberikan keluasan penyelesaian namun kurang sintesis.
- Interdisiplin: Konsep dan kaedah silang disiplin membina kerangka baharu menjadikan lebih integrasi, namun masih berputar dalam ekosistem akademik.
- Transdisiplin: Penyelesaian dicipta bersama komuniti, industri, agensi dan masyarakat sivil dengan konteks nyata menjadil nilai dan bukti dengan tindakan.
Jadinya, dengan tuntunan ilmu yang semakin canggih sebegini, kalau kita masih bergelut dalam perdebatan memastikan profesor perlu bicara bidang masing-masing sahaja, maka akan lebih jauhlah kita ke dalam jurang pengasingan ilmu.
Benar bahawa hyper-specialisation membawa ketelitian. Namun tanpa jalinan kepada persoalan besar tentang keadilan sosial, kelestarian, kesejahteraan manusia, ia mudah kehilangan denyut.
Di sinilah tanggungjawab profesor sebagai penterjemah ekosistem. Namun bukan menjadi profesor serba tahu tetapi tahu siapa dan apa yang perlu dihubungkan untuk menggerakkan penyelesaian.
DARI FESTIVAL IDEA KE TINDAKAN
Di sinilah Festival of Ideas (FOI) wajar dijadikan cerminan. FOI mempertemukan pakar, pelajar, pembuat dasar dan komuniti. Pentasnya meriah, wacananya subur. Tetapi cabaran besar kita sejak sekian lama bukan kekurangan idea tetapi tindakan.
Persoalan besar dan tindakan wajib selepas festival ini adalah post mortem memastikan berapa idea yang benar-benar berubah menjadi dasar yang dilaksanakan, prototaip yang diuji di lapangan, atau amalan yang diambil pakai oleh komuniti?
Di sini lah profesor sebagai pemimpin akademik memastikan post-festival action (PFA). Tugas mereka menyatukan rakan rentas disiplin, membuka arkib dan data, membawa agensi ke meja bukti, serta menuntun pelajar turun ke ‘makmal kehidupan’ komuniti.
Rumusannya, pergelutan tentang siapa yang ‘berhak’ bercakap bukan soal menafikan kepakaran, tetapi soal menghidupkan ekosistem ilmu. FOI jelas mengingatkan idea tanpa tindakan hanyalah gema yang hilang. Begitu juga profesor yang berilmu tanpa terjemahan hanyalah gema di dalam bilik kuliah.
Jika profesor terus ‘berprofes’ dalam ruang vakum, kampus akan menjadi kubu sunyi. Tetapi jika profesor berani membina jambatan dan memimpin post-festival-action, universiti akan kembali menjadi nadi tamadun memandu akal budi ke arah tindakan merealisasikan masyarakat madani.
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT).











