Penahanan 311 hari bekas renjer tentera sah di sisi undang-undang

Penahanan 311 hari bekas renjer tentera sah di sisi undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan penahanan selama 311 hari seorang bekas anggota Rejimen Renjer Diraja sementara menunggu prosiding mahkamah tentera adalah sah.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut mendapati tempoh penahanan terhadap Muhammad Maliki Abdul Halim oleh pegawai pemerintahnya adalah berlandaskan undang-undang di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 (AAT 1972).

Sehubungan itu, panel tersebut sebulat suara menolak rayuan difailkan bekas anggota tentera itu yang mendakwa bahawa dirinya telah ditahan secara salah.

Dalam penghakiman panel itu, Hakim Nordin berkata, pegawai pemerintah mempunyai kuasa untuk menahan Muhammad Maliki di bawah Seksyen 96(3) akta tersebut.

Katanya, penahanan Muhammad Maliki juga tidak melanggar hak kebebasan asasi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan kerana akta itu digubal mengikut undang-undang.

“Apabila seseorang menyertai angkatan tentera, dia perlu akur dengan disiplin yang ketat. Undang-undang yang mengawal tentera berbeza dengan undang-undang lain. Jika tidak, sukar untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan anggota tentera,” katanya.

Muhammad Maliki yang ketika kejadian bertugas di Batalion Ke-5 Rejimen Renjer Diraja di Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu dan telah ditahan pada Mac 2014 selepas ujian air kencing menunjukkan keputusan positif ketamin.

Muhammad Maliki kemudian mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Tentera dan ditempatkan dalam sel tahanan selama 311 hari sebelum dibebaskan pada 3 Julai 2015 sementara menunggu perbicaraan.

“Anggota tentera yang terlibat dalam keselamatan negara tidak boleh berada di bawah pengaruh bahan terlarang,” kata Hakom Nordin.

Muhammad Maliki diwakili peguam-peguam Shaharuddin Mohamed dan Low Wei Loke, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb, bersama Wan Nur Ehsan Alauddin dan Siti Norashikin Hassanor dari Jabatan Peguam Negara.

Pada 14 September 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu bertarikh 12 September 2022 yang sebelum ini memerintahkan Muhammad Maliki dibayar ganti rugi RM300,000, selepas mendapati penahanannya dibuat tidak mengikut undang-undang dan wujud kecacatan dalam prosedur tatatertib yang dilaksanakan secara tergesa-gesa.

Terdahulu, pada Mei 2018, Muhammad Maliki memfailkan saman terhadap pihak berkuasa tentera atas dakwaan ditahan secara salah selepas didapati positif dadah dalam operasi pencegahan di Batalion Ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, yang menurutnya telah memberi kesan serius terhadap kehidupan dan keluarganya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×