Tentera cedera kena periuk api, Thailand gantung rundingan damai dengan Kemboja - Utusan Malaysia

Tentera cedera kena periuk api, Thailand gantung rundingan damai dengan Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja selepas satu letupan periuk api mencederakan dua anggota tenteranya berhampiran sempadan.

Perjanjian itu yang dipantau oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertujuan mengakhiri konflik sempadan yang tercetus pada Julai lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang serta menyebabkan lebih 300,000 penduduk di kedua-dua negara terpaksa berpindah.

Tentera Diraja Thailand berkata, letupan di wilayah Sisaket mengakibatkan seorang tentera cedera parah di kaki, manakala seorang lagi mengalami sakit dada akibat tekanan letupan.

Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat, berkata Bangkok akan menghentikan tindakan susulan terhadap deklarasi bersama, iaitu perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada Oktober lalu, beberapa bulan selepas kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata.

Langkah seterusnya termasuk pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang kini ditahan di Thailand.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, mereka menyangka ancaman keselamatan sudah, namun hakikatnya belum.

Pihak berkuasa Kemboja masih belum memberi sebarang komen mengenai kejadian itu, namun sebelum ini mereka menafikan dakwaan Thailand mengenai periuk api baharu ditanam sepanjang sempadan.

Thailand dan Kemboja mempunyai pertikaian sempadan yang berlarutan lebih 100 tahun, namun pertempuran pada Julai lalu tercetus selepas Thailand mendakwa Kemboja menanam periuk api yang mencederakan tenteranya. Gencatan senjata awal dicapai dengan campur tangan Trump, diplomat China serta Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.

Deklarasi bersama yang ditandatangani pada Oktober lalu menetapkan kedua-dua pihak akan menjalankan kerja pembersihan periuk api, menarik balik senjata berat dan membenarkan pasukan pemantau gencatan senjata ASEAN menjalankan tugas.

Thailand turut berjanji untuk membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan.

Gencatan senjata Thailand-Kemboja secara amnya kekal sejak 29 Julai, namun kedua-dua negara masih saling menuduh pelanggaran perjanjian, manakala penganalisis berkata perjanjian damai menyeluruh bagi menyelesaikan pertikaian wilayah masih belum tercapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×