TANGGAL 29 Oktober lalu, genap setahun DATUK MOHD. YUSOFF MAMAT dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai ‘kejutan’ dilakukan seperti menguatkuasa larangan penduduk merentas sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok pada 1 Disember tahun lalu menerusi peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, anak jati Kelantan itu dengan berani melancarkan ‘Jihad Dadah’ dan mendedahkan pelbagai masalah sosial termasuk sumbang mahram.
Tindakan berani Mohd. Yusoff itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah pihak dan ada yang beranggapan beliau mencari popular serta mahu menjatuhkan maruah Kelantan sebagai negeri serambi Mekah.
Ikuti wawancara eksklusif, wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH dan jurugambar KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN untuk mendapatkan penjelasan sebenar mengenai tindakan beraninya itu.
DAKWAAN MAHU JATUHKAN KELANTAN
Sebenarnya saya tidak mempunyai niat pun untuk menjatuhkan nama Kelantan terutama dalam isu dadah.
Pertama saya fikir, saya anak jati Kelantan. Satu hari nanti saya mahu balik pencen di Kelantan. Takkan, saya mahu balik dan tengok berlaku kes-kes dadah yang membuatkan rakyat Kelantan risau. Setiap pelusuk kampung bercakap tentang kebimbangan penyalahgunaan dadah yang mendorong berlakunya jenayah pecah rumah dan sebagainya.
Jadi saya ada kuasa (sebagai Ketua Polis Kelantan). Ini amanah saya, sebab itu Allah hantar saya balik ke Kelantan. Jadi mesti saya buat. Semasa bertugas di Bukit Aman dan negeri-negeri lain, saya sudah buat kajian.
Di Kelantan jika ingin selesaikan jenayah, mesti selesaikan masalah dadah.
Kenapa perlu takut, kenapa pula mahu jatuhkan maruah Kelantan? Saya mahu tengok Kelantan selamat dan bebas dadah, begitu juga dengan kes jenayah-jenayah lain termasuk rogol bawah umur.
Pendedahan yang dibuat dengan tujuan pemegang taruh main peranan. Saya tengok kes ini meningkat saban tahun. Untuk makluman semua, kalau di Kelantan setakat hari ini indeks jenayah terbahagi kepada kekerasan dan harta benda.
Jenayah kekerasan di Kelantan meningkat tahun ini berbanding sebelum ini dan jenayah harta benda menurun sehingga 26 peratus.
Saya mahu ibu bapa, guru, ketua kampung dan imam masjid main peranan dalam membendung kes rogol. Kalau saya tidak cakap, siapa yang akan beritahu. Takkan mahu suruh Mufti beritahu sedangkan statistik data dengan saya.
TEKANAN POLITIK PUNCA PENDEDAHAN?
Saya tidak terima tekanan daripada mana-mana pihak (politik) dan itu bersifat andaian semata-mata. Pendedahan yang dibuat ini datang dari saya sendiri.
Saya ikhlas untuk memaklumkan kepada umum apa yang sepatutnya kita buat secara bersama-sama bagi elak jenayah.
Dadah jenis hari ini bukan macam dulu, hanya ada heroin, morphin atau ganja. Dadah sekarang sintetik. Di Kelantan popular dengan pil kuda yang boleh merosakkan otak dan boleh membuat penagih bertindak apa sahaja. Ini yang perlu dicegah.
Sebab dadah jenis baharu inilah yang membawa kepada jenayah-jenayah pelik berlaku.
TANPA FAKTA, DATA TEPAT SEOLAH-OLAH PELURU TABUR
Mana saya berani cerita (dedah) tanpa data dan fakta sebab terikat dengan etika pasukan. Sebagai Ketua Polis Kelantan saya tidak boleh bercakap sembarangan nanti disaman. Saya ada disiplin dalam membuat kenyataan.
Takkan saya ‘bodoh’ mahu cerita tanpa fakta dan data?
SEDIA JUMPA
Siapa sahaja boleh datang ke pejabat, barulah harmoni.
Buat apa saya mahu cari populariti, saya bukan selebriti. Nak glamor buat apa? Saya hanya ingin bekerja demi umat Islam di Kelantan.
Saya tidak perlu popular. Kalau niat suci, Allah akan popularkan kita. Sebab cogan kata saya, ‘Jagalah Allah, Allah akan jaga kamu’.
Saya gunakan congan kata ini semasa bergelar Deputi Superintendan sehingga sekarang. Prinsip ini jadi pegangan saya. Saya berpegang kepada surah Muhammad ayat 7. Hidup saya hari-hari dengan Allah. Saya tidak perlukan pujian manusia. Pada saya, Bila Allah suka, semua akan suka.
AGRESIF DEDAH JENAYAH
Kalau saya tidak bercakap, siapa yang akan ceritakan perlakuan jenayah di negeri ini. Atas dasar tanggungjawab dan etika saya dedahkan supaya pemegang taruh dapat mainkan peranan.
Sebagai contoh isu rogol secara suka sama suka yang melibatkan bawah umur. Isu ini perlukan perhatian masyarakat termasuk pengamal undang-undang, sama ada perlu dikaji semula atau tidak kesalahan itu.
Allah selalu bersama saya. Tawakal saya kepada Allah sangat tinggi. Sebab itu saya berani isytihar Jihad Dadah di Kelantan.
Perkataan jihad itu besar, macam tidak takut kepada mati. Ia boleh gerunkan penjenayah.
Semasa menjadi Ketua Polis Daerah Klang (Selangor) saya isytihar Jihad Gangster disebabkan terlalu ramai di kawasan itu. Alhamdulillah pendekatan itu berhasil, jadi di Kelantan saya buat perkara sama.
Alhamdulillah, Jihad Dadah mula membuatkan hasil. Sebanyak RM175.96 juta berkaitan dengan rampasan dadah direkodkan sepanjang Januari hingga Disember 2023.
Untuk tempoh sama bagi 2024, jumlah rampasan semakin berkurang kepada RM73.519 juta. Bagi 2025, dalam tempoh sembilan bulan bermula Januari hingga September, rampasan dadah terus berkurangan kepada RM24.854 juta.
Jumlah itu menunjukkan kemasukan dadah semakin berkurangan di Kelantan. Hampir 100 peratus nilai rampasan dadah berkurangan.
KELANTAN LUBUK DADAH
Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sangat unik dan hanya dipisahkan oleh Sungai Golok yang sempit serta panjang. Pasukan keselamatan yang kawal sempadan negara ialah Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panjang sempadan kita dengan Thailand ialah 136 kilometer (km) dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Jeli. PGA jaga sepanjang 45 km dari Pengkalan Kubor sehingga Rantau Panjang.
ATM pula sepanjang 91 km. PGA ada 17 pos kawalan, jarak kawalan satu-satu pos itu sekitar 2.5 km dan agak jauh. Sungai sempit sukarkan penugasan dan tindakan oleh PGA.
Jadi langkah terbaik bina tembok, pagar keselamatan untuk kekang jenayah rentas sempadan. Negara luar pun guna tembok.
Kalau musim banjir, penyeludup boleh lalu terus, macam laut. Kalau boleh mereka (penyeludup) mahu banjir sepanjang tahun. Hal ini kerana bot boleh pergi jauh. Jadi saya harap kerajaan dapat mempercepatkan pembinaan.
LANGKAH SEMENTARA
Kumpul maklumat, rondaan. Yang jaga sempadan ketika ini manusia. Ada masa lemah, malas, hendak tidur dan macam-macam.
Guna drone pun perlukan tenaga manusia. Sebab itu saya mahu pagar dan tembok keselamatan kalau mahu bendung sepenuhnya jenayah rentas sempadan.
Jika mahu tambah anggota akan beri beban kewangan kepada kerajaan. Ada tempat bina pagar, ada kawasan tembok. Boleh jadi dua dalam satu iaitu benteng banjir.
Negara jiran sudah buat lama, kita belum lagi.
TUTUP PANGKALAN HARAM
Alhamdulillah, kita berjaya kurangkan 90 peratus aktiviti rentas sempadan dan jenayah. Setiap hari pasukan cawangan khas akan membuat pemantauan kemasukan.
Maklumat diterima dari pihak berkuasa di negara jiran, aktiviti pusat hiburan berkurangan sebanyak 85 peratus.
Akta sudah ada tetapi tidak dilaksanakan sebelum ini. Jadi saya kuatkuasakan akta yang sedia ada. Ramai yang takut sebab denda boleh cecah RM10,000.-UTUSAN










