Rakyat Gaza dikurung di penjara bawah tanah, disekat kena cahaya matahari

Rakyat Gaza dikurung di penjara bawah tanah, disekat kena cahaya matahari

PENDUDUK Gaza ditahan di sel bawah tanah Rakefet di kompleks penjara Ramla di Tel Aviv. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel menahan puluhan penduduk Palestin dari Gaza di sebuah penjara bawah tanah Rakefet, malah menyekat mereka daripada cahaya matahari, makanan mencukupi serta sebarang maklumat tentang keluarga dan dunia luar.

Menurut peguam Public Committee Against Torture in Israel (PCATI), tahanan tersebut termasuk seorang remaja penjual makanan dan jururawat yang masih dalam pakaian seragam kerja, dikurung selama berbulan-bulan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Penjara Rakefet dibuka pada awal 1980-an untuk menempatkan beberapa penjenayah paling berbahaya di Israel tetapi ditutup beberapa tahun kemudian selepas ia dinilai tidak berperikemanusiaan.

Namun, Menteri Keselamatan sayap kanan, Itamar Ben-Gvir mengarahkan ia dibuka semula selepas serangan 7 Oktober 2023 dengan semua sel, kawasan riadah kecil dan bilik pertemuan peguam terletak di bawah tanah, menyebabkan tahanan hidup tanpa sebarang cahaya semula jadi.

Ketika ditutup pada tahun 1985, penjara itu menempatkan hanya 15 banduan berisiko tinggi dalam sel individu. Namun, menurut data rasmi yang diperoleh PCATI, kini kira-kira 100 tahanan dikurung di situ.

Ben-Gvir sebelum ini memberitahu media Israel dan seorang ahli Parlimen, penjara Rakefet dibuka semula untuk menahan pejuang elit Hamas yang terlibat dalam serangan 7 Oktober serta anggota khas Hezbollah yang ditangkap di Lubnan.

Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai status atau identiti tahanan lain di penjara Rakefet tetapi data sulit Israel menunjukkan kebanyakan tahanan Palestin dari Gaza yang ditangkap semasa perang adalah orang awam.

Di bawah perjanjian gencatan senjata, Zionis membebaskan 250 banduan Palestin yang disabitkan kesalahan di mahkamah Israel serta 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan. Remaja penjual makanan yang ditahan di Rakefet turut termasuk dalam kumpulan yang dibebaskan itu.

Namun, skala penahanan begitu besar sehingga sekurang-kurangnya 1,000 orang lagi masih ditahan dalam keadaan serupa, termasuk jururawat yang diwakili oleh PCATI.

“Walaupun perang secara rasmi berakhir, penduduk Palestin dari Gaza masih dipenjarakan dalam keadaan yang dipertikai dari segi undang-undang dan penuh kekerasan, melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta menjurus kepada penyeksaan,” kata PCATI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×