RSF didakwa bakar, tanam mayat penduduk untuk sembunyi jenayah

RSF didakwa bakar, tanam mayat penduduk untuk sembunyi jenayah

RSF sengaja membakar dan menanam ratusan mayat orang awam yang dibunuh dalam kubur besar bagi menyembunyikan kekejaman mereka. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Ratusan orang awam dikebumikan dalam kubur besar manakala sebahagian lagi dibakar oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di bandar El-Fasher, barat Sudan.

Dalam satu kenyataan, Rangkaian Doktor Sudan berkata, RSF mengutip ratusan mayat dari jalan-jalan utama dan kawasan kejiranan di El-Fasher sebelum menanam sebahagian mangsa dalam kubur besar serta membakar selebihnya bagi menutup bukti jenayah terhadap penduduk awam.

Tindakan tersebut disifatkan sebagai ‘genosid sepenuhnya’ dan ‘pelanggaran terang-terangan terhadap semua norma antarabangsa serta ajaran agama yang melarang mencacatkan mayat dan menjamin hak setiap individu untuk dikebumikan secara bermaruah’.

Menurut kumpulan itu, keadaan di El-Fasher kini melangkaui krisis kemanusiaan dan menjadi satu bentuk pembunuhan sistematik yang menyasarkan kehidupan serta maruah manusia, sementara dunia terus berdiam diri.

“Jenayah RSF tidak akan dapat dipadamkan hanya dengan menanam atau membakar mayat, melainkan satu siasatan bebas dilakukan,” kata kumpulan itu.

Pada 26 Oktober lalu, RSF menawan El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara dan menjalankan pembunuhan berasaskan etnik. Pihak pemerhati memberi amaran serangan tersebut boleh memburukkan lagi perpecahan geografi Sudan.

Sejak 15 April 2023, Sudan dilanda perang berdarah antara tentera negara itu dan pasukan RSF dengan usaha diplomatik serantau serta antarabangsa gagal menghentikan pertempuran tersebut.

Konflik berlarutan itu meragut ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×