GAZA: Selepas gencatan senjata fasa pertama dilaksanakan, menjadi rutin harian bagi penduduk wanita di Gaza kini mencari suami atau adik beradik mahu pun saudara lelaki mereka yang hilang ketika keluar mendapatkan bantuan makanan untuk keluarga.
Golongan lelaki Palestin sering menjadi mangsa pertama setiap kali bedilan bom dan serangan rejim Isreal datang tanpa amaran.
Di tengah ketidakpastian dan ketakutan, niat kaum hawa di Gaza hanya satu, memastikan insan tersayang dapat dikebumikan dengan cara yang sempurna dan bermaruah andai mereka syahid walaupun jasadnya sudah tertimbus di balik runtuhan atau berada di antara longgokan mayat reput di peti beku hospital.
Menurut seorang wanita Gaza di Khan Younis, Israa al-Areer, menatap skrin besar di hadapannya sesuatu yang sudah menjadi rutin hariannya sejak mayat-mayat warga Palestin mula dihantar pulang dari Israel.
Prosesnya berulang setiap kali Israel menyerahkan jenazah rakyat Palestin. Mayat-mayat itu tiba di Hospital Nasser, selatan Gaza untuk didokumentasikan oleh kakitangan forensik.
PENCARIAN MENYAKITKAN
Gambar-gambar mereka kemudian dipaparkan pada skrin besar di dewan utama, tempat keluarga dan sahabat mangsa hilang berkumpul sambil menatap setiap wajah dengan harapan dapat mengenali ahli keluarga yang maut.
Namun bagi Israa, 28, pencarian itu dua kali lebih menyakitkan. Dia mencari suaminya, Yasser al-Tawil dan juga abangnya, Diaa al-Areer yang disahkan hilang sejak 7 Oktober 2023, hari bermulanya perang di Gaza.
Mereka dipercayai berada berhampiran pagar sempadan Israel ketika pertempuran tercetus, dan sejak itu tidak pernah lagi memberi khabar.
Israa memulakan perjalanan dari rumahnya di Deir el-Balah, Gaza tengah ke Hospital Nasser di Khan Younis pada 14 Oktober, empat hari selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas diumumkan.
Pada hari itu, Israel menyerahkan 45 mayat sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran.
“Ibu dan ibu mertua menyerahkan tugas yang menyakitkan ini kepada saya. Mereka tidak sanggup melihat mayat-mayat itu. Saya sendiri tidak percaya, hidup saya kini menjadi perjuangan mencari suami dan abang di antara orang mati, hanya untuk memberi mereka kubur dan kenangan,” katanya sebak.

Apa yang menantinya di hospital itu sungguh mengerikan. Banyak mayat reput, malah ada yang menunjukkan tanda-tanda diseksa namun tentera Israel tidak memberikan sebarang maklumat pengenalan mengenai jenazah yang dihantar.
“Momen ini paling sukar dalam hidup saya. Setiap gambar membuat saya terkejut, apa yang mereka lakukan terhadap tubuh-tubuh itu sungguh kejam.
“Saya lihat ada mayat dengan batu, pasir dan paku disumbat ke dalam mulut. Ada yang ditutup mata, tangan digari, jari atau kuku dipotong. Ada yang kehilangan anggota badan, malah seperti digilis kereta kebal.
“Ia penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan. Saya menangis sepanjang perjalanan pulang, hati saya hancur,” katanya.
Selama dua tahun, Israa yang juga seorang wartawan belum mampu meratapi kematian suami dan abangnya kerana ketiadaan bukti dan kepastian.
Keluarganya menghubungi Palang Merah dan Kementerian Kesihatan Palestin, namun tiada maklumat diterima.
Ada kemungkinan kecil kedua-duanya ditahan, namun keluarganya percaya mereka sudah terbunuh.
Ketika perang berlarutan, Israa dan keluarganya turut menjadi pelarian, berpindah lebih sembilan kali untuk mengelak pengeboman. Kadangkala, keperitan hidup membuatkan Israa terfikir mungkin suami dan abangnya terselamat daripada penderitaan itu.
HARAPAN TIDAK PADAM
Gencatan senjata baru-baru ini memberi sedikit harapan mungkin Yasser dan Diaa akhirnya akan ditemui.
Sejak lawatan pertamanya pada 14 Oktober, Israa sudah berkali-kali kembali ke Hospital Nasser setiap kali kumpulan baharu mayat tiba.
Prosesnya sama iaitu menatap skrin besar, kemudian meneliti gambar-gambar di laman web Kementerian Kesihatan apabila sambungan internet mengizinkan.
“Kami minta staf memperbesar gambar untuk lihat tangan atau tanda tubuh. Ada ibu di sebelah saya yang menjerit bila mengenali anaknya melalui pakaian.
“Dia rebah sambil menangis, tetapi saya tahu, itu juga satu kelegaan yang akhirnya dia menemui anaknya,” katanya.
Israa juga pernah menyangka dia menemui suaminya, namun sangkaannya meleset.
Proses pengecaman amat ketat selain keluarga perlu menunjukkan bukti tanda pengenalan yang jelas sebelum jenazah diserahkan.
“Saya pernah lihat tiga keluarga bergaduh menuntut satu mayat. Akhirnya, seorang ayah menunjukkan parut lama di kaki anaknya dan jenazah disahkan miliknya,” katanya.
Bagi Israa, apa yang lebih menyakitkan ialah ketidakadilan yang jelas.
“Untuk mengenal pasti mayat warga Israel, agensi berkaitan bawa masuk peralatan penggalian dan sistem pengenalan canggih. Tetapi di Gaza, satu pun mesin ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak dibenarkan masuk,” katanya.










