Israel kecam waran tangkap Turkiye terhadap Netanyahu - Utusan Malaysia

Israel kecam waran tangkap Turkiye terhadap Netanyahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel semalam mengecam tindakan Turkiye yang mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpinnya, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagi dakwaan melakukan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza, dengan menyifatkannya sebagai “gimik propaganda”.

“Israel menolak dengan penuh penghinaan terhadap satu lagi gimik propaganda oleh diktator (Presiden Recep Tayyip) Erdogan.” demikian menurut Menteri Luar Israel, Gideon Saar dalam kenyataannya di platform X.

Menurut laporan agensi antarabangsa, pihak berkuasa Turkiye pada Jumaat mengeluarkan sebanyak 37 waran tangkap terhadap beberapa pemimpin dan pegawai kanan Israel yang didakwa terlibat dalam jenayah perang terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Istanbul, seramai 37 individu disenaraikan sebagai suspek, termasuk Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir serta Ketua Angkatan Tentera IDF, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.

Langkah itu diambil ketika tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin meningkat berikutan jumlah korban awam yang terus meningkat akibat serangan berterusan rejim tersebut ke atas wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, Israel menolak sebarang dakwaan tersebut, sambil menuduh Ankara menggunakan isu Gaza bagi tujuan politik domestik dan serantau.

Sementara itu, Kumpulan Hamas menyambut baik tindakan Turkiye ini, sambil menyifatkannya sebagai langkah terpuji yang mencerminkan pendirian tulus rakyat dan kepimpinan Turkiye terhadap nilai keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan dengan rakyat Palestin yang tertindas.

Langkah terbaharu Turkiye ini dibuat hampir setahun selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang.

Turkiye sebelum ini juga menyertai kes yang difailkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel atas tuduhan genosid.

Perang Israel di Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 68,875 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 170,000 yang lain, menurut angka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan Palestin. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×