KHAN YOUNIS: Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan lebih 69,000 penduduk Palestin terbunuh sejak perang antara Israel dan Hamas meletus, ketika kedua-dua pihak menyempurnakan pertukaran mayat terbaharu di bawah gencatan senjata sementara yang masih rapuh.
Angka kematian itu meningkat selepas lebih banyak mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan di kawasan yang musnah teruk sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober lalu, selain pengesahan identiti mangsa yang sebelum ini tidak dikenal pasti.
Kementerian itu juga melaporkan terdapat serangan udara baharu oleh Israel selepas gencatan berkuat kuasa, yang didakwa menyasarkan baki anggota militan Hamas.
Menurut laporan media tempatan, Israel pada Sabtu memulangkan 15 mayat rakyat Palestin kepada pihak berkuasa Gaza, sehari selepas Hamas menyerahkan mayat seorang tebusan Israel.
Pertukaran mayat ini merupakan komponen utama perjanjian damai fasa pertama yang mewajibkan Hamas memulangkan semua mayat tebusan dengan segera.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat di Gaza terus menggali runtuhan menggunakan peralatan terhad bagi mencari mangsa yang masih tertimbus.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata jumlah korban kini mencecah 69,169 orang, dengan 284 identiti baharu disahkan antara 31 Oktober hingga 7 November. Sejak gencatan bermula, 241 lagi penduduk Palestin dilaporkan terbunuh.
Israel semalam turut mengesahkan mayat yang dipulangkan Hamas ialah Lior Rudaeff, seorang warga Israel kelahiran Argentina yang terbunuh ketika mempertahankan negaranya semasa serangan Hamas pada 2023.
Sebagai balasan, Israel menyerahkan 15 lagi mayat rakyat Palestin kepada Hospital Nasser di Khan Younis. Sehingga kini, Hamas telah memulangkan 23 mayat tebusan, manakala Israel telah menyerahkan 300 mayat rakyat Palestin.
Sementara itu, di Tebing Barat yang diduduki, peneroka Yahudi menyerang petani, wartawan dan aktivis Palestin ketika penduduk tempatan menjalankan musim menuai zaitun. Serangan itu mencederakan 11 orang, termasuk petugas perubatan, sekali gus menambah ketegangan di wilayah yang bergolak itu.
Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bulan Oktober mencatat bilangan tertinggi serangan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin sejak tahun 2006, dengan lebih 260 serangan direkodkan, purata lapan insiden setiap hari.










