Perkahwinan adalah penyatuan dua hati dan dua keluarga.
Seorang suami yang baik tidak akan memisahkan isteri dengan keluarga, tetapi menguatkan hubungan sedia ada dengan penuh hormat dan kasih sayang.
Namun siapa sangka, ada yang diuji dengan perkahwinan yang sepatutnya membawa bahagia, berubah menjadi penjara.
Minggu ini saya kongsikan kisah Ila (bukan nama sebenar) yang berpengalaman berkahwin dengan lelaki yang memisahkannya dari dunia luar, terutama keluarga sendiri.
Dalam kiriman e-mel baru-baru ini, Ila berkata, seorang suami yang baik tidak akan cemburu dengan kasih sayang antara isteri dan keluarga sendiri.
Dia tidak berniat untuk membuka cerita lama.
Apa yang telah berlaku telah lama dimaafkan.
Kisah itu katanya, bukan untuk membuka aib sesiapa, tetapi bagi memberi pengajaran kepada mana-mana isteri yang melalui fasa sama.
Dia telah pun menamatkan hubungan tersebut sejak lima tahun lalu dan kini bahagia menjalani kehidupan sendiri.
Menyingkap kisah lalu, Ila berkata, dia bukan wanita berpelajaran tinggi.
Sebelum berkahwin, dia bekerja sebagai jurujual di sebuah pasaraya di pekan kelahirannya di selatan tanah air.
Dia lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang penuh kasih sayang.
Dari kecil dia dididik dengan lemah lembut, saling menghormati, menghargai hubungan sesama saudara.
Sebab itu, apabila perkahwinan yang disangka penyatuan mula memisahkannya dengan keluarga sendiri, dia nekad untuk menamatkan.
Menyingkap kisah rumah tangganya, kata Ila, kehadiran Aizat (bukan nama sebenar) mengubah seluruh hidupnya.
Dia mengenali Aizat secara tidak sengaja dalam majlis perkahwinan kakak sahabat baiknya, Rina (bukan nama sebenar).
Aizat hadir sebagai tetamu pengantin lelaki.
Pertemuan singkat tetapi cukup bermakna.
Aizat menyapanya dengan senyuman tenang dan beberapa hari kemudian menghubunginya.
Pada awalnya, mereka hanya bertanya khabar, berkongsi tentang kehidupan dan kerja.
Sedikit demi sedikit, dia mula percaya.
Aizat seorang kakitangan awam itu kelihatan matang, sopan dan paling disukai, sering mengingatkannya tentang solat.
Hubungan Ila dan Aizat tidak lama.
Tidak sampai setahun, mereka bersetuju untuk menghalalkan hubungan.
“Ketika itu saya fikir sayalah wanita paling bertuah kerana dijodohkan dengan lelaki yang dapat membimbing, mencintai saya dengan penuh kasih sayang,” tulisnya dalam kiriman e-mel itu.
Selepas berkahwin Ila memilih menjadi suri rumah sepenuh masa seperti permintaan suami.
Pada awalnya, Aizat kelihatan penyayang, mengambil berat dan bertanggungjawab.
Segala makan dan minum cukup, malah pakaian dan tempat tinggal tidak pernah kurang.
Aizat tidak pernah memukul atau meninggi suara tanpa bersebab.
Namun perlahan-lahan, kasih itu berubah menjadi bersyarat.
“Bekas suami mula menetapkan sempadan antara saya dan keluarga.
“Saya dilarang berjumpa keluarga, dipesan berkali-kali agar tidak rapat dengan emak, ayah dan adik-beradik.
“Setiap kali saya cuba bertanya, kenapa dan mengapa, tiada jawapan jelas diberikan,” tulisnya.
Lebih parah, Aizat mengganggap keluarga mertuanya ancaman.
“Setiap kali saya menerima panggilan daripada mak ayah atau adik-adik, dia mula bersoal jawab.
“Kenapa dan atas tujuan apa mereka menghubungi saya.
“Saya cuba menjelaskan tentang perasaan rindu saya kepada keluarga. Tetapi dia marah kerana tidak tahu menghargai dan menghormati suami.
“Dia sering memberi hujah menggunakan hadis dan ayat ayat al-Quran tentang tanggungjawab isteri kepada suami,” ujarnya lagi.
Setiap kali Ila cuba menentang, Aizat akan mendiamkan diri, tidak bercakap berhari-hari.
Diam suaminya lebih menyakitkan daripada marah- marah.
Lama kelamaan hubungan Ila dengan keluarga semakin jauh.
Setiap kali memujuk untuk pulang bertemu ibu ayah dan adik-adik, Aizat akan mencari pelbagai alasan.
Bekas suami sering menanamkan pandangan negatif terhadap keluarganya.
“Katanya, kami perlu bina rumah tangga sendiri tanpa campur tangga sesiapa termasuk ibu ayah,” tulisnya lagi.
Sedikit demi sedikit, Ila mula percaya mungkin benar kata suaminya itu.
Hari berganti minggu. Minggu beralih bulan dan memasuki tahun.
Sejak dijauhkan daripada keluarga sendiri, Ila berasa seolah-olah separuh dirinya hilang.
Pada pertengahan Jun 2016, dia nekad melarikan diri dengan meminta bantuan daripada salah seorang jiran.
“Allah permudahkan dan saya dapat menghubungi abang sulung serta dibawa pulang ke pangkuan keluarga
“Saya benar-benar rindukan mereka terutama emak dan ayah.
“Sejujurnya saya tidak pernah menyangka perkahwinan itu telah menjarakkan kasih kepada keluarga sendiri,” tulisnya.
Namun kebebasan itu tidak datang dengan mudah.
Bekas suami enggan melepaskan dan mendakwa Ila isteri derhaka.
Ila terpaksa turun naik mahkamah, akhirnya selepas tiga tahun segalanya selesai pada penghujung 2019.
Setelah berpisah, Ila membina semula hidupnya.
“Allah maha penyayang. Allah pulangkan semula saya kepada emak, ayah dan adik-beradik yang tidak pernah berhenti berdoa dan menunggu,” tulisnya.
Kisah Ila memberi pengajaran, yang seorang suami sepatutnya menjadi pemimpin, bukan menguasai.
Seorang suami yang baik, tidak akan membiarkan jarak tercipta antara seorang isteri dengan keluarga sendiri.
Kasih ibu ayah itu bukan satu ancaman tetapi menguatkan lagi rumah tangga dibina.
Dalam institusi perkahwinan, Allah SWT mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri.
Seorang suami wajib menghormati isteri begitu juga sebaliknya.
Ini termasuk membenarkan isteri menziarahi ibu bapa dan keluarga selagi tidak melanggar syariat.
Walaupun tidak ada ayat Quran atau hadis yang menyatakan, suami benarkan isteri berjumpa ibu bapa, terdapat dalil umum yang menunjukkan kewajiban berbuat baik kepada ibu bapa.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukannya dengan sesuatu pun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa…” (An-Nisa:36).










