Melaka, Mara dan KL ke suku akhir

Melaka, Mara dan KL ke suku akhir

AEKKASIT Naphom melakukan rejaman sambil cuba dihalang Muhammad Adi Syazmin dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit malam tadi. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Juara bertahan, Kuala Lumpur mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mudah menewaskan KPT-MASUM 2-0 pada saingan pusingan kedua Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali Edisi Ke-4 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit di sini malam tadi.

Gandingan Muhammad Zarif Merican Ibrahim (tekong), Sutthikiart Pansankaew (apit kanan) dan Mohammad Kamarul Ezzad (apit kiri) meraih kemenangan selesa 15-12 dan 15-5 dalam tempoh 45 minit.

Kedah pula menepati ramalan apabila menewaskan Penjara 2-0 di pusingan kedua menerusi kemenangan 15-7 dan 15-7 untuk bertemu Kuala Lumpur di suku akhir nanti.

Pasukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang membuat penampilan pertama diterajui tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi bersama Aekkasit Naphom dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) berjaya melangkah ke suku akhir menewaskan Pulau Pinang 2-0 di pusingan kedua.

Gandingan itu tidak berdepan tugas getir apabila mudah menundukkan Pulau Pinang menerusi kemenangan 17-15 dan 15-13 untuk menempah pertembungan dengan Melaka di suku akhir.

Tuan rumah Melaka pula terpaksa berhempas-pulas sebelum dapat mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 untuk mara ke suku akhir.

Gandingan Pongsatorn Phong-Udtha (tekong), Mohd. Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) menang mudah di set pertama dengan 15-9.

Bagaimanapun, kealpaan seketika menyebabkan tuan rumah tewas 12-15 di set kedua untuk mengajak perlawanan diheret ke tie-break, namun kemenangan memihak kepada Melaka yang menang 15-12.

Kemenangan itu menyaksikan mereka akan berdepan tugas berat menentang Mara di suku akhir.

Juara 2023, Perak turut menempah tempat ke suku akhir selepas mengalahkan Polis Diraja Malaysia 2-0 menerusi kemenangan 15-5 dan 17-15.

Perak yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd. Nordin, Kritsada Sungvung (tekong) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) bakal berdepan tugas getir bertemu pasukan pilihan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Putrajaya membuat kejutan apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Pahang 2-0 menerusi kemenangan 17-15 dan 15-10 bagi menempah tempat berdepan Selangor. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×