Meskipun penggunaan elektrik di rumah meningkat rentetan banyak masa dihabiskan di kediaman berikutan perintah kawalan pergerakan penuh (PKP), orang ramai masih boleh memantau dan mengurus penggunaan peralatan elektrik bagi mengelak pembaziran.
Menutup suis peralatan apabila tidak digunakan dan mengamalkan tips kecekapan tenaga apabila menggunakan peralatan yang banyak menggunakan tenaga antara boleh diamalkan.
Berikut saranan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memastikan kecekapan tenaga dapat direalisasikan dengan baik:
1. Matikan komputer selepas digunakan. Berhenti mengecas komputer riba selepas bateri penuh.
2. Tutup pintu, tingkap dan laluan udara semasa menggunakan alat pendingin hawa supaya udara sejuk tidak keluar dari bilik. Guna kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat alat pendingin hawa boleh dilaraskan lebih tinggi (antara 24 hingga 26 darjah selsius) bagi penggunaan elektrik yang cekap.
3. Tetapkan masa untuk mematikan alat pendingin hawa mungkin beberapa jam selepas digunakan.
4. Bersihkan penapis alat pendingin hawa bagi mengoptimumkan proses penyejukan. Habuk boleh menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa.
5. Kurangkan kos penggunaan lampu dengan memanfaatkan cahaya semula jadi dari luar rumah.
6. Penggunaan air panas semasa mencuci pakaian (dengan muatan penuh) menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa memanaskan air.
7. Matikan suis dan tanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Televisyen, kotak dekoder dan modem yang tidak dimatikan, boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang.
8. Mandi lama dengan alat pemanas air menyebabkan penggunaan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.










