Ibu Zayn Rayyan ke penjara

Ibu Zayn Rayyan ke penjara

ZAIM Ikhwan Zahari (kiri) dan Ismanira Abdul Manaf tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk keputusan kes mengabaikan anaknya, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya air mata dan kekecohan mengiringi suri rumah, Ismanira Abdul Manaf ketika wanita itu dibawa oleh anggota polis untuk dihantar ke Penjara Wanita, Kajang selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.

Kekecohan tercetus se­lepas suaminya, Zaim Ikhwan Za­hari yang tidak dapat mene­ri­ma keputusan mahkamah itu di­lihat seperti hilang pertimbangan, naik angin dan menghamburkan amarah kepada pegawai penyiasat selepas kes tersebut diputuskan.

Ibu lelaki itu juga dilihat dan didengar memarahi pegawai polis berkenaan sebelum masing-masing ditenangkan oleh ahli keluarga yang lain.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap ibu kepada kanak-kanak autisme itu selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mengeluar­kan perintah dua tahun bon ber­kelakuan baik dengan cagaran RM3,000 oleh penjamin warganegara Malaysia manakala Ismanira perlu menjalani khid­mat masyarakat selama 120 jam perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Ketika membaca keputusan­nya, Syahliza menyatakan Akta Kanak-Kanak 2021 tidak me­ne­tapkan taksiran jelas bagi maksud pengabaian di bawah Seksyen 31(1)(a).

Justeru penentuan sama ada wujud unsur pengabaian bergantung kepada fakta dan ke­terangan kes.

“Dalam hal ini, mahkamah tidak terikat dengan taksiran dan perspektif psikologi mana-mana organisasi atau pertuduhan.

“Mahkamah mendapati pem­belaan bercanggah dengan ke­terangan tertuduh sendiri dan saksi pembelaan keempat (Umi Syafiqah Rohizal). Mahkamah mendapati perlakuan Zayn Rayyan berjalan di belakang tertuduh bukanlah rutin si mati, tegar (rigid) dan tidak boleh diubah.

“Berhubung pembelaan bahawa tertuduh telah mengawasi si mati, mahkamah mendapati pada tarikh kejadian, tertuduh membiarkan si mati berjalan di belakangnya tanpa pengawasan yang sewajarnya, yang telah membawa kepada kehilangan kanak-kanak itu,” kata hakim itu.

Selepas menjatuhkan hukuman, Syahliza menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman pemenjaraan tersebut atas alasan tiada keadaan khas memerlukan perkara itu dibenarkan.

“Alasan-alasan dikemukakan ter­utama berhubung penjagaan Zahin Mateen (adik Zayn Rayyan) adalah perkara peribadi tertuduh yang masih boleh diuruskan tertuduh dan ahli keluarganya,” katanya.

Terdahulu, peguam bela, Haresh Mahadevan memohon agar anak guamnya dikenakan denda dan bukan hukuman pemenjaraan bagi menjaga kebajikan dan kesihatan adik Zayn Rayyan itu yang juga mempu­nyai autisme.

“Sekiranya mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan, maka Mateen (adik Zayn Rayyan) akan kehilangan kasih sayang ibu.

“Laporan pakar mengatakan Mateen akan mengalami separation anxiety (kegelisahan perpisahan) dan trauma sekiranya dijauhkan daripada ibu bapa.

“Sebelum ini, anak kedua itu menangis ketika diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berpaut pada Ismanira kerana tidak mahu masuk ke kereta ketika dibawa ke lokasi lain,” katanya.

Sebaliknya, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin meminta agar mahkamah mengenakan hukuman berat iaitu pemenjaraan dengan mengambil kira kepen­tingan awam.

“Kita tahu si mati adalah kanak-kanak istimewa, autisme yang diabaikan dan dibiarkan oleh ibu kandungnya sendiri. Ia satu tindakan di luar norma sebagai seorang ibu.

“Fitrah seorang ibu adalah menjaga keperluan anaknya apatah lagi kanak-kanak istimewa seperti arwah Zayn Rayyan tetapi sebaliknya tertuduh telah menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Perkara ini harus diseimbangkan dengan faktor lain selain faktor kepen­tingan awam,” hujahnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Sementara itu, Haresh ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, rayuan dijangka difailkan sama ada Isnin atau Selasa depan memandangkan permohonan penangguhan hukuman tidak dibenarkan mahkamah.

Peguam itu memaklumkan mereka juga memfailkan rayuan berhubung keputusan hakim yang menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×