DALAM hidup berjiran, mesti banyak amalkan toleransi. Tidak kira tinggal di bandar atau desa, jiran-jiranlah sebagai pengganti adik-beradik dan saudara-mara terutama apabila berlaku kecemasan.
Sebab itu, seorang muslim harus sentiasa berusaha menjaga lisan dan tangan agar tidak mendatangkan mudarat atau bahaya kepada sesama muslim. Jagalah lidah dan tangan kita agar tidak menyakiti orang lain. Hidupkan kasih sayang, pupuk persaudaraan.
Antara isu kecil tetapi boleh mencetuskan ‘polemik’ adalah isu parkir atau meletak kereta di hadapan rumah jiran tetangga. Lebih-lebih lagi ada pula jenis orang yang letak kereta sesuka hati. Tak fikir sama ada cara dia parkir itu menghalang laluan atau lebih tak berakal, menghalang tuan rumah untuk keluar masuk.
Hal ini ditegur oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda yang bermaksud: “Jangan lakukan perkara yang mendatangkan mudarat dan menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.” (Riwayat Ahmad)
Seseorang itu tidak seharusnya bersikap pentingkan diri, keluarga dan kaumnya sahaja, bahkan mereka wajib menjaga orang lain di sekelilingnya. Sebabnya, kita saling berhajat antara satu sama lain dalam kehidupan di dunia, tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.
Inilah yang boleh difahami daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kalian yang telah menjadikan kalian (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah, Tuhan yang kalian selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (al-Nisa’: 1)
Bagi yang tinggal di kawasan rumah banglo, parkir mungkin tidak ada masalah. Namun bagi yang tinggal di rumah flat, pangsapuri dan rumah teres, perkara ini adalah antara yang selalu mengeruhkan suasana dan ukhuwah sesama jiran.
Kalau di pangsapuri, bila balik lewat malam, memang parkir biasanya penuh. Jadi terpaksalah parkir berlapis. Bila sudah begitu keadaannya, kejiranan tersebut mesti ada toleransi dan kesabaran yang tinggi.
Manakan tidak, setiap pagi perlu menolak kereta yang parkir berlapis yang menghalang kenderaan keluar. Keadaan jadi kacau apabila yang parkir berlapis tidak lepaskan brek tangan. Nombor telefon pemiliknya pula tidak dipamerkan di papan pemuka.
Bagi penghuni kawasan rumah teres, ramai memiliki lebih dari dua buah kereta. Ini terutama bagi kawasan rumah yang penghuninya berumur lingkungan 50 ke 60-an. Kalau 20 tahun dulu, hanya ibu dan ayah yang mempunyai kereta. Tetapi kini, hampir semua anak berkereta apabila masuk alam pekerjaan.
Ringkas kata, anak-anak ini apabila masuk usia 22 dan 23 tahun, masing-masing sudah memiliki kereta. Sama ada yang dibeli sendiri atau emak dan ayah belikan. Realitinya, ramai ibu bapa membelikan kereta ketika anak-anak masih belajar di universiti.
Demikianlah, beruntungnya anak-anak zaman sekarang. Alhamdulillah atas rezeki Allah. Namun, apa yang boleh menimbulkan masam muka apabila ada yang meletak kereta sesuka hati tidak kira menghalang laluan atau sebaliknya waima di depan rumah jiran.
Ada pula yang meletakkan kereta betul-betul di hadapan rumah jiran hingga tuan rumah sendiri sukar mengeluarkan motosikal. Tidak kurang juga yang suka meletak kenderaan di kiri dan kanan jalan sehingga hanya ‘ngam-ngam’ untuk sebuah kereta lalu.
Sebenarnya, ini semua boleh mengundang bahaya terutama apabila berlaku kecemasan seperti kebakaran pada waktu malam. Meninggalkan hanya laluan kecil dan sempit juga menyukarkan laluan ambulans apabila ada kecemasan.
Aspek-aspek beginilah yang selalu terlepas pandang apabila meletak kenderaan di kawasan rumah masing-masing. Malah ada sebahagian mentaliliti orang kita yang kalau boleh semuanya nak parkir depan rumah, depan kedai, depan masjid dan sebagainya.
Golongan ini kalau boleh buka sahaja pintu kereta, terus masuk ke rumah, klinik, kedai, masjid dan sebagainya. Sebab itu, mereka tidak pedulikan orang lain. Golongan beginilah yang selalu kurang tertib semasa parkir, malah ada ketikanya sanggup parkir di tempat Orang Kurang Upaya (OKU).
Dalam hidup berjiran, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim)
Penunggang motosikal pun ada cerita juga. Kadang-kadang, tempat meletak motor sudah disediakan tetapi mereka tidak mahu parkir di situ. Sebaliknya, lebih suka parkir di petak kereta. Perbuatan begini menyusahkan pemilik kenderaan lain kerana motosikal tersebut telah ‘merampas’ lot parkir kereta.
Kalau hari Jumaat, situasi sama boleh kita lihat di masjid. Jemaah yang datang awal sudah parkir elok di tempat yang disediakan ataupun di bahu-bahu jalan. Tiba-tiba datang jemaah yang lewat, parkir berlapis.
Ini bukan melibatkan kereta sahaja kerana motor pun sama. Kadang-kadang parkir motor itu bukan dua lapis tetapi tiga lapis. Sehingga menutup dua daripada tiga lorong jalan besar dekat masjid.
Memang kita faham, suasana pada hari Jumaat di mana-mana masjid sesak dengan jemaah dan kenderaan. Ironinya, kita tidak faham mengapa pemilik kenderaan yang parkir dua tiga lapis tadi tidak bergegas mengalihkan kenderaan mereka usai imam memberi salam.
Kalau kita datang lewat ke masjid solat Jumaat dan parkir menghalang orang, sepatutnya selesai bagi salam, terus alihkan kenderaan masing-masing. Itu adalah keutamaan berbanding duduk berwirid bersama imam.
Sebabnya, kenderaan kita tadi menghalang kelancaran lalu lintas. Disebabkan sebuah motor kita yang menghalang dua daripada tiga lorong jalan, kesesakan yang berlaku mencecah satu ke dua kilometer. Dan tentunya menyusahkan orang lain.
Dalam masa sama, ia memberi mesej yang salah kepada orang bukan Islam. Kita tidak mahu mereka beranggapan, sebab nak solat Jumaat boleh parkir sampai tutup atau halang lalu lintas.
Walhal ajaran Islam bukan begitu. Islam suatu agama yang sangat menitikberatkan anggota masyarakat agar mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan dalam kehidupan.
Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya. (Riwayat Muslim) – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










