1MDB: Peguam Najib dakwa saksi pendakwaan sering salahkan orang lain

1MDB: Peguam Najib dakwa saksi pendakwaan sering salahkan orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghujahkan bahawa saksi-saksi pendakwaan mempunyai kecenderungan untuk menyalahkan pihak lain.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, kecenderungan itu boleh dilihat melalui keterangan saksi-saksi seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman.

“Jika ada corak yang muncul daripada keterangan saksi pendakwa, ia boleh diringkaskan kepada tiga perkara utama iaitu salahkan Najib, salahkan Allahyarham Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Najib) dan alihkan kesalahan kepada mereka yang telah melarikan diri seperti Terrence Geh, Nik Faisal Ariff Kamil (CEO 1MDB) dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan (sebelum hadir beri keterangan).

“Dalam perbicaraan ini sendiri, penipuan mereka telah didedahkan dengan jelas. Contohnya, Shahrol Azral (bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) mendakwa bahawa P525, surat yang meminta pengeluaran segera Letter of Comfort untuk usahasama dengan Aabar Investments disediakan oleh Jasmine yang pada ketika itu masih menyembunyikan diri.

“Tetapi apabila Jasmine memberi keterangan, saksi itu memberitahu dia tidak ingat menyediakan surat P525. Hal yang sama berlaku untuk beberapa dokumen lain yang kononnya mendapat persetujuan Kementerian Kewangan di bawah Seksyen 6 Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965. 

“Ketika Jasmine masih bersembunyi, Shahrol Azral mendakwa wanita itu yang mendapatkan tandatangan Najib, tetapi Jasmine menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut,” kata Wan Azwan Aiman.

Wan Azwan Aiman turut menghujahkan bahawa tidak pernah wujud pendekatan top-down (pendekatan arahan dari pihak atasan) dalam 1MDB, sebagaimana yang didakwa oleh pendakwaan.

Sebaliknya, arahan yang diberikan oleh Najib kepada Lembaga Pengarah syarikat adalah mengikut peruntukan Akta Syarikat 1965 dan berdasarkan pembentangan dan representasi yang dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB.

“Penafian Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (bekas Pengerusi 1MDB), berhubung kewujudan pendekatan itu disokong dengan dokumen yang telah dikemukakan sebagai eksibit di mahkamah.

“Fakta menunjukkan bahawa usaha sama 1MDB dengan Aabar Investments telah pun dibincangkan dan dipersetujui oleh Lembaga Pengarah sebelum wujudnya dakwaan ‘arahan dari atas ke bawah’ tersebut. 

“Bukti menunjukkan Lembaga Pengarah telah meneliti dan membincangkan cadangan tersebut dalam beberapa mesyuarat sebelum pelaksanaan Dokumen DCR P529 oleh Lembaga Pengarah pada 25 Februari 2013.

“Memandangkan terdapat keterangan yang bercanggah di hadapan mahkamah ini, adalah dikemukakan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Ismee (bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail) dan Shahrol Azral perlu dipertimbangkan semula,” hujah Wan Azwan Aiman.

Dokumen DCR P529 ialah Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) 1MDB bertarikh 25 Februari 2013 yang bertujuan untuk membuat satu usahasama di mana 1MDB dan Aabar Investments akan melakukan usahasama untuk melabur secara global.

Menurut keterangan Shahrol Azral, projek usahasama antara 1MDB dengan Aabar Investment adalah cadangan Najib sendiri dan bertujuan  untuk pembiayaan dana bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sementara itu, Ismee dalam keterangannya menyatakan, terdapat beberapa dokumen penting seperti DCR yang memerlukan kelulusan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Hak Tebus Khas (SRR) sudah ditandatangani Najib terlebih dahulu.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×