PETALING JAYA: Aksi spontan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan ketibaannya ke Malaysia mencuri perhatian dunia apabila video berkenaan meraih lebih 48 juta tontonan di pelbagai platform media sosial.
Detik itu dirakam ketika Trump disambut dengan persembahan zapin oleh sekumpulan penari tradisional sejurus tiba, semalam.
Trump yang kelihatan teruja secara bersahaja menyertai penari dengan gerakan seakan-akan ‘hand shuffle’, disusuli gaya ‘twist’ perlahan lantas mencetuskan sorakan daripada tetamu yang hadir.
Anwar yang turut terhibur dengan gelagat Trump tidak ketinggalan menyertai tarian berkenaan dengan langkah sederhana, sekali gus menceriakan suasana pagi yang sebelumnya hujan renyai.
Video berdurasi kurang satu minit itu tular sejurus dimuat naik oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden AS, Margo Martin di Instagram yang kini mencatat lebih sejuta tanda suka.
Ia turut dikongsi semula di Facebook dengan 21.5 juta tontonan serta di TikTok dengan 9.3 juta tontonan, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 48 juta tontonan.
Rata-rata pengguna media sosial memuji keakraban kedua-dua pemimpin itu yang dianggap sebagai simbol hubungan mesra antara Malaysia dan AS.
Lebih menarik, Trump kemudiannya dilihat mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera AS sebelum menjemput Anwar menaiki kenderaan rasmi presiden, The Beast menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
Lawatan sulung Trump ke Malaysia itu dianggap bersejarah dan mencerminkan sisi berbezanya tampil lebih santai dan mesra.
Kehangatan sambutan itu sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa serta meninggalkan kenangan istimewa kepada rakyat negara ini. – UTUSAN








