Pegawai bank tidak mengaku rasuah hampir setengah juta

Pegawai bank tidak mengaku rasuah hampir setengah juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 79 pertuduhan menerima rasuah melibatkan keseluruhan RM488,050 sebagai ‘upah’ membantu memproses pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.

Syed Mohd. Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42,  membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, Syed Mohd. Muhaimin yang bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan di sebuah cawangan bank di Kepong, Kuala Lumpur didakwa menerima wang rasuah tersebut ke dalam akaun bank miliknya sebagai dorongan membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan syarikat CSA Academy Sdn. Bhd. di bank itu. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 2022 hingga 2024 secara serentak dengan permohonan pinjaman pelanggan sama di beberapa institusi kewangan lain menyebabkan pelanggan tersebut memiliki beberapa pinjaman peribadi lain yang melebihi had kelayakan.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula bulan depan.

Kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan tarikh sebutan semula akan ditetapkan kemudian.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×