PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) digesa meluluskan sekurang-kurangnya 50 syarikat pelancongan dan pengelola haji/umrah berbanding 31 buah syarikat yang diluluskan setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, langkah itu bukan sahaja memberi lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan yang berkelayakan, malah membantu bakal jemaah mendapatkan pilihan perkhidmatan yang lebih baik dan kompetitif.
“Ketika ini terdapat lebih 1,000 agensi pelancongan aktif dalam bidang umrah dan haji. Lebih baik jika dibuka kepada lebih banyak syarikat yang berpengalaman dan mematuhi piawaian TH, bukan hanya segelintir agensi yang sama setiap tahun,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, TH mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji hadapan setelah menilai 60 permohonan berdasarkan keupayaan operasi, pematuhan undang-undang serta prestasi terdahulu.
Dalam pada itu beliau juga mengingatkan supaya mereka yang ingin menunaikan haji dan umrah hanya berurusan dengan syarikat pelancongan yang diluluskan oleh TH bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau gagal menunaikan ibadah dengan sempurna.
Sementara itu, Naib Presiden (Umrah dan Haji) Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd. Azri Abd. Razak menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji menggunakan visa pelancong atau visa selain visa haji yang sah.
“Bakal jemaah perlu peka dan menyemak status visa mereka. Jangan mudah percaya tawaran kononnya boleh menunaikan haji dengan visa pelancong, visa kerja atau visa perniagaan kerana ia menyalahi undang-undang dan boleh menyebabkan mereka tidak dibenarkan berwukuf di Arafah,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan kes penipuan melibatkan individu yang belum dipanggil menunaikan haji tetapi memilih jalan pintas melalui tawaran pihak tidak bertanggungjawab menggunakan visa tidak sah.
“Kerajaan juga wajar lebih proaktif memperketat pengawasan terhadap penyalahgunaan visa pelancong terutama menjelang musim haji bagi mengelak jemaah Malaysia menjadi mangsa,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan kesihatan jemaah, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, agensinya sentiasa menambah baik aspek itu melalui Klinik Andalusia yang ditauliahkan oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) sebagai pemeriksa kesihatan bagi bakal jemaah haji.
“Kami turut adakan ceramah kesihatan bersama doktor bagi memberi panduan awal kepada jemaah mengenai penjagaan kesihatan, termasuk kawalan penyakit kronik dan tahap kecergasan sebelum ke Tanah Suci.
“Tahun ini difahamkan tiada lagi program Safari Wukuf. Jadi, walaupun mereka lulus pemeriksaan, jemaah tetap perlu menjaga kesihatan ketika berada di tanah air supaya benar-benar bersedia menjelang musim haji,” katanya. – UTUSAN











