Penentangan semakin perlahan, rakyat Palestin takut Jenin jadi seperti Gaza

Penentangan semakin perlahan, rakyat Palestin takut Jenin jadi seperti Gaza

WANITA Palestin diusir dari kawasan perkuburan oleh tentera Israel di Jenin, Tebing Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENIN: Jenin yang suatu ketika dahulu digelar ‘ibu kota para syahid’ Palestin kini sunyi tanpa suara perjuangan apabila tentera Israel terus memperkukuh cengkaman di wilayah itu.

Penduduk yang dulunya berani menentang kini hanya mahu hidup aman, bimbang nasib mereka berakhir seperti Gaza yang hancur dibedil.

Penduduk tempatan, Shadi Dabaya, 54, menjadi saksi hidup kepada kekejaman Israel. Pipi dan lengannya menanggung parut lama akibat peluru semasa intifada kedua.

“Dulu saya lawan dengan semangat, tapi sekarang saya cuma mahu hidup tenang,” katanya.

Menurut Dabaya, dia pernah ber­depan kenderaan tentera Is­rael dengan tangan kosong, na­mun kini hanya mampu memerhati dari jauh apabila pasukan tentera berkawal di jalanan Jenin.

Sejak Januari lalu, tentera Israel menguasai kem pela­rian Jenin dan mengusir lebih 14,000 penduduk. Operasi yang dinamakan “Iron Wall” itu dikatakan berjaya menumpaskan kumpulan pejuang Palestin, namun pasukan tentera masih bertahan di kawasan tersebut.

Sebelum ini, Batalion Jenin yang menghimpunkan pejuang daripada pelbagai kumpulan Palestin menjadi lambang keberanian rakyat. Namun kini, poster-poster para pejuang yang pernah dipuja hanya semakin pudar di bawah panas terik.

Penduduk Tebing Barat kini melihat kehancuran Gaza sebagai amaran. Dalam tempoh dua tahun, hampir 90 peratus wilayah itu musnah akibat serangan Israel, menunjukkan tiada batas dalam tindakan rejim terhadap rakyat Palestin.

Ketika perang di Gaza semakin reda, ramai penduduk Palestin bimbang wilayah Tebing Barat bakal menjadi sasaran seterusnya. Namun kerana ketakutan, suara penentangan kini lenyap, meskipun serangan oleh peneroka Yahudi semakin meningkat.

Penduduk tempatan, Hiba Jarar yang tinggal di kawasan Jabria berkata, serbuan tentera kini berlaku hampir setiap hari.

“Dulu bila dengar bunyi tembakan, kami sangka pejuang sedang lawan. Sekarang kami tahu, itu tentera Israel. Tiada siapa lagi yang tinggal untuk melawan,” ujarnya.

Kawasan kejiranan mewah yang pernah dipenuhi keluarga kini kosong selepas penduduk diarahkan berpindah.

Dalam masa sama, penghinaan terhadap rakyat Palestin semakin ketara. Video yang menunjukkan pemuda-pemuda Palestin diarah tunduk dan berjalan dengan tangan diikat ke belakang sering tular di media sosial, menggambarkan keadaan sebenar di bawah pendudukan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×