Keusahawanan teras baharu ekonomi Malaysia

Keusahawanan teras baharu ekonomi Malaysia

BELANJAWAN 2026 memperlihatkan dasar fiskal negara kini lebih berpaksikan potensi rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bukan sekadar helaian angka dan unjuran fiskal tetapi naskhah yang membawa harapan baharu kekuatan ekonomi Malaysia terletak pada semangat keusahawanan rakyatnya.

Dalam keadaan dunia yang bergelut dengan ketidaktentuan pasaran, kerajaan menampilkan strategi yang berani serta menyeluruh untuk memupuk ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan inovasi.

Pembentangan Belanjawan 2026 memperlihatkan keazaman negara untuk menjadikan keusahawanan sebagai nadi pertumbuhan ekonomi, bukan lagi sektor sampingan. Ia adalah visi yang berpaksikan rakyat, menjadikan setiap individu bukan hanya pencari kerja tetapi juga pencipta peluang.

“Kita mahu melahirkan bangsa yang berjiwa usahawan, rakyat yang tidak menunggu peluang datang tetapi berani mencipta ruang untuk maju,” kata Anwar.

Antara tonggak utama Belanjawan 2026 ialah pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Kerajaan memperuntukkan Dana Pelaburan Bersama Strategik berjumlah RM200 jutabagi membantu PMKS mendapatkan pembiayaan melalui platform pendanaan awam berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

Selain itu, Dana Pembangunan Industri sebanyak RM180 juta disediakan bagi memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, farmaseutikal, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.

Langkah ini selaras dengan matlamat Pelan Hala Tuju Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) untuk menjadikan Malaysia hab industri berteknologi tinggi menjelang 2030.

Golongan usahawan bumiputera turut mendapat suntikan semangat baharu dengan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada kontraktor G1 hingga G4, serta jaminan pembiayaan kerajaan berjumlah RM10 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Program Jaguh Serantau SME Bank dengan dana RM200 juta pula menyasarkan untuk melahirkan usahawan bumiputera eksport, manakala Program Penskalaan Usahawan Mara bernilai RM100 juta membantu melahirkan syarikat pemula bumiputera dalam sektor berteknologi tinggi.

Langkah-langkah ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi strategi bersepadu untuk memperkukuh penguasaan ekonomi nasional. Ia mengangkat usahawan bumiputera sebagai pemain utama yang mampu bersaing di pasaran global.

Di peringkat akar umbi, kerajaan memperkukuh peranan usahawan mikro yang menjadi penggerak utama ekonomi tempatan. Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima peruntukan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan program pembangunan komuniti, termasuk geran perniagaan sehingga RM10,000 kepada 1,000 usahawan mikro berpotensi serta latihan keusahawanan di universiti dan institusi pemulihan.

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut menerima tambahan sebanyak RM230 juta, menjadikan jumlah keseluruhan dana mencecah RM2.9 bilion, bagi membiayai lebih 300,000 usahawan wanita di seluruh negara.

Keputusan ini memberi impak langsung kepada ekonomi keluarga luar bandar dan memperkasa wanita sebagai agen perubahan sosial serta ekonomi.

Selain itu, Program Peluang Kedua dengan peruntukan RM15 juta diwujudkan bagi membantu bekas banduan, wanita terkesan dan individu berisiko untuk membina semula kehidupan melalui keusahawanan.

Inisiatif ini membuktikan keusahawanan bukan sekadar bidang ekonomi tetapi juga wadah pemulihan sosial yang memberi peluang kedua kepada insan.

LONJAKAN BAHARU NEGARA

Kerajaan turut memberi perhatian terhadap keusahawanan berasaskan teknologi. Dana Perintis Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Jelawang Capital Khazanah ditingkatkan kepada RM750 juta bagi menyokong syarikat pemula berteknologi tinggi, manakala Cradle Fund menerima RM55 juta untuk memperluas pelaburan ekuiti serta program inovasi bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) pula menyediakan RM30 juta untuk memperkukuh pembiayaan sektor makanan, agritech dan penjagaan kesihatan dengan fokus kepada PMKS berpotensi tinggi di peringkat ASEAN.

Tidak ketinggalan, SME Bank memperuntukkan RM100 juta untuk PMKS halal, manakala Agrobank menyalurkan RM1.1 bilion pembiayaan agroteknologi bagi menyokong automasi dan inovasi dalam industri pertanian moden. Semua langkah ini membentuk rantaian nilai baharu yang berpaksikan ekonomi digital dan lestari.

KEUSAHAWANAN SEBAGAI WAWASAN NASIONAL

Keusahawanan adalah nadi pembangunan bangsa yang dinamik. Menurut SME Corp Malaysia (2025), sektor PMKS menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih 7.3 juta pekerjaan.

Maka, pelaburan terhadap sektor ini membawa pulangan sosial yang jauh lebih besar daripada angka ekonomi semata-mata. Ia membina rakyat yang berdikari, berinovasi dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

Belanjawan Keusahawanan 2026 memperlihatkan dasar fiskal negara kini lebih berpaksikan potensi rakyat. Ia tidak hanya memberi pinjaman dan dana tetapi membina ekosistem yang memupuk keberanian, kreativiti dan semangat berdikari dalam kalangan rakyat Malaysia.

Belanjawan Keusahawanan 2026 merupakan seruan untuk menyemai semula jiwa perniagaan dalam diri rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar strategi ekonomi tetapi juga falsafah pembangunan yang mengiktiraf kemakmuran sebenar lahir daripada kekuatan manusia mencipta nilai serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Apabila semangat niaga digandingkan dengan kebijaksanaan dasar dan ekosistem inklusif, Malaysia akan melangkah sebagai negara berpendapatan tinggi yang berjiwa usahawan.

Inilah makna sebenar ekonomi madani iaitu bukan hanya menambah angka keuntungan tetapi turut membina keutuhan manusia dan kesejahteraan sejagat.-UTUSAN

 

DR. Raja Mayang Delima Mohd. Beta ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.

DR. Purnomo M. Antara ialah Ketua Unit Keusahawanan, MASMED, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×