PARLIMEN: Malaysia tubuh Jawatankuasa Khas keluar status `risiko standard’ EUDR

PARLIMEN: Malaysia tubuh Jawatankuasa Khas keluar status `risiko standard’ EUDR

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR di peringkat nasional bagi menangani kesan pelaksanaan Peraturan Penyahutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu diambil sebagai usaha komited untuk memastikan Malaysia keluar daripada status ‘risiko standard’.

“Kita ada tiga risiko dalam EUDR ini, risiko rendah, risiko standard dan risiko tinggi. Malaysia diletakkan di bawah risiko standard.

“Dengan mengambil pendekatan ‘whole of government approach’ (pendekatan seluruh kerajaan), mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Jun lalu memutuskan supaya satu jawatankuasa khas di peringkat nasional ditubuhkan bagi menangani kesan pelaksanaan EUDR, pengklasifikasian Malaysia dalam kategori risiko standard dan membincangkan tindakan susulan yang sewajarnya.

“Susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri ini, Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR ditubuhkan,” katanya menjawab soalan Chong Zhemin ( PH- KAMPAR) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR diterajui bersama oleh KPK, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta kementerian dan agensi berkaitan lain.

Katanya, antara skop tugas jawatankuasa itu ialah membincangkan isu pelaksanaan EUDR yang merentasi bidang kuasa pelbagai kementerian atau agensi, serta meneliti perkara yang berpotensi menjejaskan ketepatan data terkini yang diserahkan Malaysia dalam Laporan Penilaian Sumber Hutan Global (FRA) kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bagi proses pengklasifikasian Malaysia di bawah EUDR.

Selain itu, jawatankuasa bertanggungjawab memastikan kriteria kuantitatif dan kualitatif yang diguna pakai oleh Kesatuan Eropah (EU) dipenuhi, serta mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung tindakan pematuhan yang perlu dilaksanakan oleh kementerian atau agensi.

“Ia juga bertujuan memastikan jawatankuasa berfungsi sebagai platform strategik untuk merumuskan pendirian negara secara bersepadu, serta menangani atau menyangkal sebarang kenyataan tidak tepat berkaitan maklumat yang dihantar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×