KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan supaya penganjuran perhimpunan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tidak diadakan bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, berkata, tempoh persidangan itu bukanlah masa sesuai untuk sebarang perhimpunan kerana semua keutamaan ditumpukan kepada aspek keselamatan dan protokol negara.
“Polis menasihatkan supaya perhimpunan itu tidak diteruskan kerana kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan dan menjadi tumpuan utama delegasi luar negara.
“Penganjuran seperti itu tidak sesuai ketika Malaysia menjadi tuan rumah kerana boleh menjejaskan imej negara serta mengganggu kelancaran sidang,” katanya selepas melakukan tinjauan persiapan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC hari ini.
Menurutnya, pihak polis sudah menjalankan sesi libat urus dengan kumpulan yang menyatakan hasrat untuk berhimpun bagi menyampaikan bantahan.
“PDRM menasihatkan supaya ia tidak diadakan di kawasan KLCC. Sekiranya mereka masih berhasrat untuk berhimpun, kami mencadangkan supaya lokasi dialihkan ke kawasan lebih sesuai seperti Padang Merbok,” katanya.
Beliau berkata, perhimpunan besar di sekitar KLCC boleh menjejaskan kawalan keselamatan serta mengganggu pergerakan konvoi dan urusan protokol delegasi antarabangsa yang menghadiri sidang berkenaan.
“Kami bukan menghalang hak berhimpun tetapi meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan sepanjang minggu Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung,” katanya.
Jelasnya, polis menghormati hak berhimpun seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 namun ia perlu dilaksanakan secara tertib tanpa menjejaskan keselamatan awam.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan di kawasan larangan.
“PDRM juga menasihatkan orang ramai supaya tidak termakan provokasi atau ajakan untuk menyertai sebarang perhimpunan tanpa kebenaran,” katanya. -UTUSAN











