PARIS: Sekumpulan pencuri melarikan barang kemas bersejarah yang ‘tidak ternilai’ dari Muzium Louvre dalam satu rompakan nekad selama tujuh minit pada pagi Ahad, menurut Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez.
Nuñez berkata pencuri memasuki muzium dari luar menggunakan sebuah kren bakul yang diletakkan pada lori pembinaan, dan menembusi tingkap galeri melalui alat pemotong cakera.
Galeri yang disasarkan, Galerie d’Apollon, menyimpan permata mahkota Perancis serta harta peribadi yang pernah dimiliki oleh keluarga Napoleon.
Dua kotak pameran disasarkan dan lapan hingga sembilan barang kemas bernilai tinggi dilaporkan hilang termasuk tiara dan rantai leher yang dipakai oleh Ratu Marie‑Amélie dan Ratu Hortense.
Satu daripada barang yang ditemui semula ialah mahkota yang dipakai oleh Maharani Eugénie, isteri kepada Napoleon III, namun ia dalam keadaan rosak. Mahkota itu dihiasi 1,354 berlian dan 56 zamrud.
Menteri Kebudayaan, Rachida Dati, berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan muzium ditutup sepanjang hari untuk membolehkan siasatan forensik dijalankan.
Polis kini memburu empat suspek yang dipercayai menggunakan jaket keselamatan pekerja pembinaan bagi menyamar, dan melarikan diri dengan motosikal. Nuñez berkata pasukan itu sangat berpengalaman dan telah mengkaji lokasi terlebih dahulu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam kenyataan di platform X menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan ke atas warisan yang kita hargai kerana ia adalah Sejarah kita” dan memberi jaminan barangan tersebut akan didapatkan semula dan pelaku dibawa ke muka pengadilan.










