SANAA: 20 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih ditahan oleh kumpulan Houthi di ibu negara Yemen, selepas mereka menyerbu pejabat agensi berkenaan di Sanaa pada Sabtu lalu.
Menurut jurucakap PBB di Yemen, Jean Alam, lima daripada yang ditahan adalah kakitangan tempatan manakala 15 lagi merupakan warga asing.
Seorang pegawai kanan PBB yang enggan dinamakan mengesahkan kepada AFP wakil UNICEF di Yemen, Peter Hawkins, turut berada dalam kalangan yang ditahan. Dua sumber keselamatan Houthi turut mengesahkan perkara itu.
Insiden ini berlaku susulan tuduhan oleh pemimpin pemberontak, Abdelmalek al-Huthi, yang mendakwa wujud “sel pengintip berbahaya” berkait agensi bantuan seperti UNICEF dan Program Makanan Sedunia (WFP). Dakwaan itu dikecam keras oleh PBB sebagai “berbahaya dan tidak dapat diterima.”
Serangan dan penahanan ini bukan yang pertama. Sebelum ini, pada 31 Ogos, Houthi menyerbu pejabat PBB dan menahan lebih 11 kakitangan atas tuduhan mengintip untuk Amerika Syarikat dan Israel. Sejak itu, sebanyak 21 pegawai PBB dan 23 kakitangan NGO antarabangsa turut ditahan.
PBB kini berunding dengan pihak berkuasa di Sanaa, kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa, serta negara anggota berkaitan bagi membebaskan semua yang ditahan dan memulihkan semula kawalan penuh ke atas fasiliti mereka.










