Dianggap jenaka, sawah padi pertama UK kini sedia untuk dituai

Dianggap jenaka, sawah padi pertama UK kini sedia untuk dituai

NADINE Mitschunas kini digelar penanam padi pertama di UK. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAMAN padi pertama di United Kingdom (UK) kini sedia untuk dituai selepas musim paling panas dalam sejarah negara itu, menandakan kejayaan luar biasa bagi satu eksperimen pertanian yang sebelum ini dianggap mustahil.

Di sebuah ladang biasa di kawasan tenang di timur England, usaha yang dulunya dianggap satu jenaka itu sedang menampakkan hasilnya.

“Apabila saya beritahu orang tentang apa yang saya lakukan di sini, mereka fikir saya sedang bergurau,” kata penanam padi pertama dan satu-satunya di United Kingdom (UK), Nadine Mitschunas.

Empat petak sawah kecil yang ditanamnya kini membesar dengan baik, dibantu oleh suhu tertinggi sejak 1884 yang direkodkan di UK sepanjang musim panas tahun ini.

“Kami tidak pernah terfikir tanaman ini boleh tumbuh di sini. Seakan tidak mungkin menjadi kenyataan dalam sejuta tahun,” kata pemilik tanah, pasangan Sarah dan Craig Taylor.

Sawah kecil itu merupakan sebahagian daripada percubaan berani Mitschunas untuk mengkaji jenis makanan yang boleh ditanam di Britain pada masa depan.

 

Selain itu, ia menjawab persoalan besar tentang cara menghasilkan makanan mencukupi sambil melindungi kelangsungan hidup petani dalam dunia yang sedang berubah akibat perubahan iklim.

Mitschunas, seorang ahli ekologi yang pernah memenangi anugerah berkata, beliau sangat bangga dengan hasilnya.

“Saya benar-benar terkejut, kerana pokok-pokoknya besar, subur dan rimbun,” katanya kepada wartawan BBC.

Beliau turut menunjukkan kepada wartawan jenis kegemarannya, Estrella dari Colombia yang dianggap terbaik setakat ini selepas merujuk kepada varieti Jepun yang masih belum berbunga dengan nada sedikit kecewa.

Eksperimen ini merupakan idea Pusat Ekologi dan Hidrologi UK (UKCEH) yang dijalankan bersama pasangan petani Craig dan Sarah Taylor.

Puluhan anak pokok padi ditanam di empat sawah kecil yang digali di ladang mereka, beberapa batu di utara bandar Ely, Cambridgeshire.

Walaupun padi sering dikaitkan dengan tanaman tropika, ia sebenarnya boleh hidup di kawasan beriklim sederhana.

Sembilan varieti ditanam dalam percubaan ini, termasuk dari Brazil, Colombia, Itali dan Filipina, antaranya jenis beras popular seperti risotto, basmati dan sushi.

“Tiada siapa pernah mencuba menanamnya sebelum ini, tetapi dengan perubahan iklim, kita kini mempunyai tanaman yang 10 tahun lalu kita fikir mustahil untuk hidup. Dalam 10 tahun lagi, padi mungkin jadi tanaman yang sempurna untuk kami di UK,” kata Mitschunas.

Menurut Pakar dari UKCEH yang mengetuai projek tersebut, Prof. Richard Pywell, kawasan itu kini berada di sempadan paling utara di mana padi masih boleh tumbuh tetapi masih terlalu berisiko untuk ditanam secara komersial.

Namun katanya, dengan perubahan iklim yang pesat, senario di mana suhu purata tahunan meningkat antara 2 hingga 4 darjah Celsius berbanding zaman pra-industri yang dianggap sangat mungkin oleh para saintis, ia boleh menjadikan penanaman padi di UK satu realiti.

“Tetapi projek ini bukan sekadar tentang menghasilkan beras dari UK. Ia juga boleh membantu negara ini menangani perubahan iklim,” katanya.

Kawasan Fens di Cambridgeshire merupakan antara tanah pertanian paling subur di Britain dan satu pertiga sayur-sayuran negara ditanam di sini, dengan nilai sekitar 1.2 bilion pound (RM6.8 bilion) setahun. Namun, tanah ini mempunyai kesan besar terhadap alam sekitar.

Ladang-ladang di kawasan ini terletak di atas tanah gambut yang dulunya dilitupi air tetapi kini semakin kering.

“Kentang adalah tanaman yang hebat, tak boleh dinafikan. Tetapi kami tahu sesuatu perlu berubah.Kami tak mahu orang anggap kami ‘petani padi gila’ namun usaha ini tentang memikirkan semula keseluruhan sistem dan menjadikannya berfungsi untuk semua orang.

“Kami tahu masa depan tidak lagi stabil. Kami mahu menulis nasib kami sendiri, bukan biarkan ia ditentukan untuk kami. Legasi untuk anak-anak kami dan generasi mereka amat penting. Saya mahu mereka tahu sekurang-kurangnya kami cuba melakukan sesuatu untuk membawa perubahan,” kata Sarah.

Selain padi, pasukan itu turut mencuba tanaman lain seperti salad dan pokok willow hibrid yang boleh tumbuh di tanah berair.

Dengan menenggelamkan semula tanah gambut di Cambridgeshire, gas rumah hijau boleh ‘dikunci’ dalam tanah basah, mengurangkan pelepasan ke atmosfera.

Walaupun penanaman padi menghasilkan metana iaitu gas rumah hijau yang kuat, hasil awal menunjukkan tanaman itu tidak menghasilkan lebih banyak pelepasan berbanding jumlah karbon yang berjaya dikurangkan.

Malah, kerajaan UK turut menunjukkan minat terhadap projek ini dan pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) dilaporkan datang melawat tapak tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×