PHILLIP ISLAND: Pelumba Gresini, Alex Marquez mengakui dia tidak akan memberi laluan mudah dalam usahanya untuk memastikan kedudukan naib juara keseluruhan MotoGP 2025 menjadi miliknya.
Pelumba berusia 29 tahun itu mempunyai peluang keemasan untuk memastikan kedudukan terbaik dalam kerjaya MotoGP hujung minggu ini di Grand Prix (GP) Australia.
Ketika ini Alex mendahului pelumba Ducati, Francesco Bagnaia 88 mata dan pelumba dari Sepanyol itu boleh mengesahkan kedudukan kedua terbaik keseluruhan jika dia meninggalkan Phillip Island dengan kelebihan 111 mata.
“Pada akhirnya, dalam beberapa perlumbaan terakhir, saya juga bersaing dalam kejuaraan menentang Marc (Marquez), yang memenangi gelaran.
“Dan sekali lagi di Indonesia, bertarung untuk kedudukan kedua, ia bukan sesuatu yang mudah. Anda tidak menunggang dengan bebas di atas motosikal. Anda tidak sentiasa menolak had. Anda menolak tetapi sentiasa dengan sedikit berhati-hati.
“Jadi, atas sebab itu, saya mahu selesaikan kedudukan kedua secepat mungkin supaya saya boleh lebih tenang dan yang paling penting, menunggang dengan cara yang baik seperti yang kami lakukan di awal musim.
“Jadi, itu akan menjadi satu sasaran yang baik. Tetapi kami perlu ambilnya hujung minggu demi hujung minggu. Sekarang kami ada GP Australia dan ini adalah litar yang sangat baik untuk saya.
“Kami perlu pantas untuk mendapatkan keputusan yang baik pada Ahad ini,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










