AUSTIN, Amerika Syarikat: Lewis Hamilton menyifatkan spekulasi yang mengaitkan Christian Horner dengan Ferrari tidak berasas dan merupakan satu ‘gangguan’ kepada pasukan yang berusaha mencari kemenangan pertama tahun ini di Grand Prix Amerika Syarikat minggu ini.
Bercakap menjelang perlumbaan Ahad ini, juara dunia tujuh kali itu berkata, beliau menyedari khabar angin yang tersebar di media Itali tetapi tidak tahu dari mana ia berasal.
Bekas bos Red Bull, Horner sedang mencari jalan untuk kembali ke Formula Satu selepas dipecat Julai lalu, selepas dua dekad yang sangat berjaya mengetuai pasukan itu.
Beliau kini menjalani tempoh ‘gardening leave’ selepas bersetuju dengan syarat pemergiannya daripada pasukan Milton Keynes, dan telah dikaitkan dengan Aston Martin dan Haas.
Bos Ferrari, Fred Vasseur telah bersetuju untuk menyambung kontraknya lebih awal musim ini dan merupakan individu utama di sebalik langkah Ferrari menandatangani Hamilton tahun ini.
“Saya tidak tahu dari mana datangnya khabar angin itu, jadi saya tidak dapat memberi pencerahan tentangnya, tetapi ia sedikit mengganggu kami sebagai satu pasukan.
“Pasukan telah pun menunjukkan pendirian mereka dengan mengekalkan Fred, dan saya, dia dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk masa depan pasukan,” kata Hamilton.
Hamilton berkata, kemajuan Ferrari musim ini kurang mendapat perhatian walaupun prestasi mereka meningkat dalam mengejar kemenangan pertama dan podium pertamanya musim ini.
“Perkara-perkara sebegini, secara semula jadi, tidak membantu,” tambah Hamilton, yang telah menang lima kali di litar Austin tetapi belum mencatatkan kemenangan sejak Julai 2024.
Ferrari meraih kemenangan satu-dua yang mengagumkan dalam perlumbaan Austin tahun lalu. – AFP/UTUSAN










