Kolam dianggap sebagai titik tumpu ruang setiap kali tibanya Deepavali.
Ia lazimnya diletakkan di pintu masuk rumah, lobi hotel atau ruang legar bangunan yang menjadi sambutan pertama bagi tetamu yang melangkah masuk.
Sehingga kini, dekorasi istimewa perayaan itu masih mengekalkan gaya tradisinya, namun diberi sedikit nafas baharu dengan sentuhan moden.
Seperti yang dilakukan oleh tiga beradik, Gajendran, Sugu dan Kanaga yang giat berkarya dalam seni penghasilan kolam menerusi perniagaan dekorasi, DD Creationz Enterprise.
Kata Kanaga, kolam bukan sekadar karya seni di lantai, tetapi lambang warisan dan kreativiti.
“Kolam bukan sekadar hiasan semata-mata. Ia adalah tradisi indah yang diwarisi turun-temurun, menghubungkan kami dengan akar budaya, warisan dan energi ketuhanan.
“Penting mengekalkan maksud asal kolam dengan menggunakan beras kerana ia membawa niat untuk memberi makan dan memberkati semua makhluk hidup,” katanya sambil memberitahu dalam tradisi lama, beras yang digunakan akan menjadi makanan kepada semut dan burung.
Tahun ini, tema flora, vilaku (pelita) dan burung merak menjadi pilihan.
“Keistimewaannya terletak pada cara kami menggabungkan motif tradisional dengan sentuhan moden dan kreatif.
“Kami bereksperimen dengan padanan warna serta tekstur baharu bagi memberikan setiap rekaan pesona perayaan tersendiri, sambil tetap mengekalkan jiwa dan semangat Deepavali,” katanya.
Selain kolam, hiasan lain yang turut memeriahkan Deepavali ialah Kodum iaitu pasu dihiasi bungaan rona cerah yang menyerikan sudut ruangan.
“Rekaan ini menonjolkan warna-warna perayaan tradisional seperti emas, kuning dan merah.
“Ia turut dihiasi dengan untaian bunga marigold, bunga-bungaan segar serta kain berwarna-warni bagi menyerlahkan suasana sebenar sambutan Deepavali,” ujarnya.
MOTIF FLORAL
Bagi Mogenes Ganesan,30, yang telah berkecimpung dalam dunia kolam selama lebih 10 tahun, rekaan kolamnya tampil lebih moden dengan sentuhan motif kuttuvilakku, mandala, bunga teratai dan flora besar.
Setiap elemen dipilih kerana maknanya disebalik iaitu cahaya, keseimbangan dan pertumbuhan rohani.
Warna-warna cerah seperti merah, kuning dan jingga melambangkan tenaga dan kemakmuran, manakala biru dan hijau memberi rasa tenang serta keharmonian.
“Bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan kolam ialah tepung beras berwarna, serbuk kapur dan serbuk warna kolam bagi membentuk corak.
“Kami juga menggunakan kelopak bunga, vilaku dan kadangkala pasir atau garam berwarna untuk menambahkan keindahan pada rekaan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, setiap kolam mengambil masa antara tiga hingga lima jam untuk disiapkan, bergantung kepada saiz dan kerumitannya.
“Rekaan yang lebih terperinci dengan pelbagai warna, corak dan bayangan biasanya mengambil masa lebih lama kerana ia memerlukan kesabaran, ketelitian serta kerjasama pasukan untuk menyerlahkan keindahannya sepenuhnya.
“Pelanggan suka kolam kami pada tahun ini. Mereka kata warna-warnanya sangat terang dan gabungan rekaan tradisional serta moden menjadikannya kelihatan indah dan penuh makna,” katanya.-UTUSAN










