Pekerja kilang amuk serang polis dipenjara enam tahun

Pekerja kilang amuk serang polis dipenjara enam tahun

Pekerja kilang dipenjara
MOHAMAD Hailmie  Idris dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. -  UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menyerang anggota polis dengan pisau pemotong daging, Ahad lalu.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohamad Hailmie Idris, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang masih bujang dan berpakaian gelap itu turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Hailmie didakwa dengan niat melibas sebilah pisau, mengejar dan menetak cermin depan kereta milik seorang anggota polis berpangkat Koperal.

Ketika kejadian, anggota itu berada di tempat pemandu dengan cermin terbuka dan perbuatan tertuduh diketahui boleh menyebabkan kematian. Kesalahan itu dilakukan di Jalan Bakti 1, Bestari Jaya di sini, kira-kira pukul 6.05 petang, 12 Oktober lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zaki Mohd. Zahid memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor tindakan tertuduh boleh mendatangkan kecederaan kepada khalayak umum.

Namun, Peguam R. Sellamal dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman ringan kerana tertuduh mempunyai tanggungan bapa dan adik Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Tertuduh hanya bekerja kilang dengan memperoleh gaji yang tidak menentu. Dia memohon maaf atas perbuatan itu dan berharap hukuman paling minimum,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan tular video anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi menahan lelaki yang mengamuk dengan pisau pemotong daging.

Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan mendapati suspek yang diberkas polis itu tidak terlibat dalam kes samun seperti ditularkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×