Projek baharu pacu ekonomi, peluang pekerjaan

Projek baharu pacu ekonomi, peluang pekerjaan

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman projek baharu seperti perumahan mampu milik, sekolah dan hospital dalam Belanjawan 2026 adalah langkah positif dalam merancakkan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Arkitek dan Pengarah Veritas Design Group, Ar Azril Amir Jaafar berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan setempat, malah merangsang sektor pembinaan dan perkhidmatan yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan negara.

“Projek-projek ini akan memberi manfaat langsung kepada penduduk tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu.

“Pada masa sama, peningkatan kemudahan pendidikan dan kesihatan dapat memperkukuh pembangunan modal insan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, projek perumahan baharu, khususnya di kawasan luar bandar, mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan seimbang antara wilayah.

“Apabila infrastruktur asas seperti perumahan, sekolah dan hospital dipertingkatkan di luar bandar, ia bukan sahaja memperbaiki akses kepada pendidikan dan kesihatan, tetapi juga menarik pelaburan baharu serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” katanya.

Bagaimanapun, dari sudut fiskal, beliau menegaskan kerajaan berhati-hati dalam memperluas projek pembangunan ketika defisit masih tinggi.

“Langkah ini perlu disertai dengan perancangan rapi dan pengurusan kewangan yang teliti supaya setiap perbelanjaan pembangunan dapat memberi pulangan ekonomi yang mampan dalam jangka panjang,” ujarnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 mengumumkan beberapa pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) di Tanjung Rambutan dan  Klinik Kesihatan Kubang Semang serta Kompleks Kesihatan Bersepadu Seberang Perai Tengah.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa sebanyak 38 buah sekolah baharu akan dibina bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Kerajaan juga akan meneruskan pembinaan kediaman rakyat dengan peruntukan RM672 juta untuk Program Residensi Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×