PERBUATAN menghidang arak dalam majlis rasmi di negara ini oleh segelintir pihak bukan Melayu, walau apa pun alasan yang diberikan, tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
Setelah sekian lama hidup bersama dan bermastautin di bumi Melayu-Islam, mereka seharusnya sudah memahami serta menghormati sensitiviti umat Islam, khususnya masyarakat Melayu. Ia termasuk dalam hal menjaga adab dan batas dalam setiap urusan rasmi mahupun sosial.
Tindakan menghidang arak melanggar peraturan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2003 dan Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 Keraian Rasmi Kerajaan 2018.
Kedua-duanya bukan sahaja menegaskan majlis rasmi kerajaan hendaklah mematuhi tatacara dan etika yang sesuai dengan norma masyarakat serta tidak menimbulkan sensitiviti agama, malah melarang hidangan minuman keras dan lain-lain yang seumpamanya dalam sebarang keraian rasmi negara.
Dengan ini, perbuatan itu terang-terangan salah kerana langsung tidak mematuhi peraturan negara.
Peraturan negara bukan sahaja sesuai, juga seiring dengan taraf Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, moraliti nasional di segenap pelosok negara ini dikawal sepenuhnya oleh ajaran Islam.
Dalam kes ini, menghidangkan arak dalam acara rasmi negara bukan sahaja bercanggah, malah mencabar peruntukan perundangan tertinggi. Ini kerana tindakan itu langsung tidak menyanjungi ketinggian sistem perundangan negara.
Penyanjungan ini penting sekali untuk memastikan piawai moral yang selaras dengan Islam sebagai agama Persekutuan dijunjung tinggi pada setiap detik oleh setiap rakyat.
Namun, segala harapan untuk saling menghormati sensitiviti kaum ternyata meleset apabila perbuatan yang salah ini dilihat oleh sebahagian etnik bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, seolah-olah tidak menyalahi apa-apa dari sebarang sudut.
Lebih membimbangkan, ada pula yang menghasut dan memprovokasi dengan pelbagai cara sehingga menambahkan ketegangan sedia ada. Antaranya termasuk desakan agar daging lembu tidak dihidangkan dalam majlis rasmi. Tindakan ini boleh menimbulkan salah faham dan mengeruhkan keharmonian antara kaum.
Sebenarnya semua alasan yang diberikan etnik Cina untuk mempertahankan perbuatan salah mereka itu bukan sahaja meleset tetapi bebal. Ini kerana rata-ratanya memperlihat pemikiran yang tidak sepatutnya ada setelah sekian lama menghuni bumi Melayu-Islam ini.
Pemikiran mereka jelas memperlihat proses pembentukan negara bangsa bukan sahaja tidak kesampaian, malah sama sekali gagal dalam sebilangan aspek.
Dengan mengatakan jamuan yang menghidangkan arak itu langsung tiada kena-mengena dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja menunjukkan betapa liciknya mereka memanipulasi kebenaran, bahkan enggan melangsaikan kewajipan pada Kontrak Sosial yang dipersetuju bersama antara etnik Melayu-Cina-India pada Perjanjian Etnik 1955.
Antaranya menerima Islam sebagai agama Persekutuan setelah mereka dibenarkan untuk terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini dengan kerakyatan mudah yang diberikan etnik Melayu.
Sehubungan dengan Kontrak Sosial, setiap rakyat wajar berkongsi prinsip, nilai serta etika moral yang terkandung dalam ajaran Islam sebagai panduan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di bumi Melayu-Islam ini.
Hal ini penting kerana kelakuan sosial, sistem perundangan serta watak institusi negara berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan, yang berperanan mengawal serta membentuk hala tuju kenegaraan secara harmoni dan berakhlak.
Untuk ini, semua rakyat hendaklah sama-sama memperlihat kesetiaan, kebertanggungjawaban dan kerjasama untuk bukan sahaja mendukung moraliti nasional yang sifatnya mesti Islamik, juga merealisasikannya dengan penuh jaya.
Ini bermakna, semua rakyat harus sama-sama bersepakat selain bersedia berkorban untuk kebaikan negara.
Dalam hal ini, isu hidangan arak dalam keraian rasmi negara perlu dianggap sebagai isu nasional yang besar mudaratnya. Ia bukan hanya isu kecil lagi remeh seperti yang mahu dianggap etnik Cina sebagaimana mereka beranggapan Malaysia akan dilihat sebagai destinasi pelancongan yang tidak terbuka.
GAGAL FAHAMI ISLAM
Teguran keras tentang perbuatan salah itu agar tidak berulang, langsung tidak disenangi, malah dibantah etnik Cina. Ia kononnya mengecewakan penduduk bukan Islam yang dikatakan rata-rata menginginkan Malaysia yang moderat dan inklusif.
Bagi etnik Cina, pendirian rasmi yang mereka inginkan ekoran isu ini ialah perimbangan yang betul-betul menunjukkan kepelbagaian di negara ini.
Mereka sebenarnya mahu melihat diplomasi arak dapat terus dibenarkan pada masa hadapan. Ini kerana bagi mereka, hidangan arak bukan sahaja simbol muhibah yang dapat dipupuk dengan mudah lagi cepat, juga boleh memperkasa hubungan diplomatik selain ekonomi dengan senang sekali, khususnya apabila melibatkan masyarakat antarabangsa.
Dengan kata lain, arak dilihat sebagai kuasa lembut untuk melancarkan hubungan antarabangsa, khususnya dalam membina rangkaian strategik bagi tujuan perniagaan yang lumayan hasilnya.
Dengan pemikran sedemikian, tidak dapat disangkalkan lagi etnik Cina masih belum memaklumi aspirasi kerohanian etnik Melayu atau sengaja tidak mahu memahaminya, walau sekelumit pun.
Pada etnik Cina, arak yang dihidangkan dalam majlis rasmi negara itu tidak perlu pun diminum oleh etnik Melayu yang kesemuanya beragama Islam. Mereka memahami ia haram bagi umat Islam. Hal ini hanya betul dari satu segi, namun tidak dari segi lain.
Dalam perkara ini, etnik Cina gagal memahami dalam Islam selain dilarang meminum arak, mereka juga diperintahkan untuk menjauhinya dari apa-apa jua cara yang ada kaitan dengannya. Ini termasuklah kehadiran umat Islam dalam majlis yang mengandungi unsur maksiat. Antaranya yang menawarkan hidangan arak yang diharamkan dalam Islam.
Ini bermaksud, majlis yang dihidangkan arak tersebut tergolong sebagai perbuatan maksiat yang wajib segera ditinggalkan umat Islam sebaik sahaja menyedarinya. Haram bagi seorang Islam untuk terus berada di tempat sedemikian kecuali jika meninggalkannya dengan segera.
Sesungguhnya, kehadiran arak dalam majlis rasmi bukan sahaja memudaratkan akhlak dan maruah umat Islam, malah menimbulkan kesulitan kepada mereka yang hadir atas urusan rasmi dan tidak berpeluang untuk beredar tanpa menjejaskan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sehubungan itu, etnik Cina seharusnya mengakui perbuatan tersebut merupakan kesalahan besar. Mereka perlu memohon maaf dengan penuh keikhlasan serta berjanji untuk tidak mengulanginya. Jangan terus mempertahankan kesilapan dengan alasan yang hanya menampakkan keangkuhan dan ketidakpekaan terhadap sensitiviti umat Islam.
Hentikan juga naratif majlis yang menghidangkan arak kononnya satu inisiatif murni pihak swasta untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Pandangan sebegini bukan sahaja menafikan kesalahan yang jelas tetapi turut mencerminkan sikap biadab dan tidak menghormati nilai-nilai Islam yang menjadi teras negara.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










