ALOR SETAR: Perlawanan Liga A1 Semi-Pro malam ini dianggap menarik apabila buat pertama kalinya pendatang baharu Liga Malaysia, Kedah FA (KFA) bakal bertemu ‘seteru’ senegeri iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Di atas kertas, KFA yang kini mengukuhkan kedudukan di tangga kelima liga berpeluang untuk menuai tiga mata seterusnya di Stadium Darul Aman berbanding KDA yang sedang bergelut di kedudukan ke-15.
Anak-anak buah Victor Andrag mencatat tiga kemenangan dan tiga seri dalam enam perlawanan diharungi setakat ini, sementara KDA terus menanggung kekalahan kelima berturut-turut.
Malah, pasukan kendalian Azzmi Aziz itu hanya ditunjangi sepenuhnya oleh pemain tempatan berbanding KFA yang diperkuatkan tiga awang import.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan tiket percuma sempena perlawanan yang mempertemukan kedua-dua pasukan dari Kedah itu.
“Memandangkan pencapaian KFA buat masa ini amat memberansangkan maka kita memutuskan untuk memberi hadiah kepada para peminat sempena perlawanan menentang KDA.
“Tempat duduk adalah bebas dan semua peminat dijemput untuk memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan,” katanya.
KDA melalui fasa penuh ranjau sebelum diturunkan pangkat dari Liga Super ekoran mengalami masalah kewangan yang meruncing sejak penswastaan kelab Liga Malaysia bermula.
Lebih mendukacitakan apabila kelab itu diambil tindakan undang-undang oleh beberapa bekas pemain termasuk tonggak import, Sony Norde disebabkan tunggakan gaji dan yuran pendaftaran yang tidak dibayar ketika Sony menyertai pasukan KDA.
Sementara penyertaan KFA untuk musim pertama Liga A1 Semi-Pro bukan sekadar untuk menyertai pertandingan, sebaliknya pelaburan jangka panjang dalam membentuk ekosistem bola sepak yang lestari dan progresif di Kedah.
Malah, hasrat utama KFA adalah untuk melahirkan ‘ubi muda’ atau bakat baharu yang sekiranya menyinar mampu beraksi dengan pasukan lebih baik atau bergaji lebih besar. – UTUSAN











