KERANA takut kehilangan suami, segelintir wanita di negara ini sanggup menanggung derita kanser payudara tanpa sebarang rawatan.
Perkara itu pernah dikongsikan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Naliza Fahro Rozi, ketika pertemuan kami tahun lalu.
Mentaliti itu masih menebal dalam kalangan pesakit tanpa mengira latar belakang, kerjaya dan pendidikan.
Akhirnya, mereka memilih untuk berdiam diri atau menangguhkan rawatan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
Semuanya kerana bimbang suami tidak lagi menyayangi mereka selepas menjalani pembedahan mastektomi.
Mastektomi ialah prosedur membuang aset kewanitaan yang menjadi simbol identiti diri dan daya tarikan pada pandangan pasangan.
Bagi sesetengah wanita, tindakan itu dirasakan seperti kehilangan sebahagian daripada maruah dan kewanitaan mereka.
Mereka sukar menerima perubahan tubuh sendiri, apatah lagi membayangkan pandangan suami terhadap diri yang tidak lagi sempurna.
Ada yang takut suami akan menjauh, memandang serong atau lebih buruk meninggalkan mereka.
Kerana takut ditolak, ramai memilih jalan senyap.
Mereka menangguhkan rawatan, mencuba pelbagai kaedah tradisional dan alternatif yang tidak terbukti berkesan.
Ada pula yang percaya kononnya doa semata-mata mencukupi, sedangkan usaha perubatan juga sebahagian daripada ikhtiar.
Namun, pengorbanan kesihatan yang dilakukan itu akhirnya hanya sia-sia.
Apabila penyakit makin parah, suami yang ditakuti akan ‘lari’ tetap juga pergi kerana tidak sanggup menjaga isteri yang sakit.
Malah ada yang berkahwin lain ketika pasangan masih berjuang untuk hidup.
Lebih menyedihkan, ada wanita yang menghembuskan nafas terakhir dengan perasaan kecewa dan terkilan.
Bukan hanya kerana sakit ditanggung, tetapi kerana cinta yang dipertahankan tidak lagi wujud.
Sepatutnya, wanita sedar yang nyawa jauh lebih berharga daripada bentuk tubuh atau pandangan sesiapa.
Kanser payudara bukan noktah kehidupan, tetapi permulaan baharu untuk mencintai diri, menghargai hidup dan mensyukuri setiap nafas yang masih dikurniakan tuhan.
Jika rawatan dilakukan pada peringkat awal, kadar kesembuhan boleh mencecah lebih 90 peratus.
Paling penting, jangan biarkan ketakutan atau pandangan orang lain mempengaruhi hidup anda.
Jika ada tanda-tanda luar biasa, ketulan atau sakit pada payudara, segeralah berjumpa doktor dan dapatkan rawatan lanjut.
-Rosalinda Md.Said adalah wartawan Utusan Malaysia










