Wajahnya masam dan garang sepanjang masa Bukan itu sahaja, kucing parsi digelar Kenzo ini juga tidak suka dibelai.
Setiap kali dipeluk pemiliknya, Nurulhuda Rashid, ia meronta-ronta minta dilepaskan.
Malah, kucing berwarna oren berumur lima tahun ini lebih gemar bersendiri.
Sikap itu berbeza dengan kucing-kucing lain yang lazimnya manja.
“Tetapi bila tiba waktu ia mahu bermanja, tiba-tiba sahaja Kenzo boleh meluru ke arah saya minta belaian dan perhatian,” katanya.
Kenzo yang baru setahun dipelihara itu juga memiliki sifat cemburu yang tinggi.
Percubaan pertamanya menambah haiwan peliharaan di rumah tidak berakhir dengan kegembiraan seperti yang diharapkan.
Kenzo sering bergaduh dengan kucing tersebut hingga terpaksa dikembalikan kepada pemilik asal.
Tetapi, segalanya berubah bila Nurulhuda membawa pulang anak kucing yang dinamakan Majibu.
“Di peringkat awal, Kenzo suka memarahi Majibu tetapi kama-kelamaan sikapnya bertukar lemah-lembut,” katanya.
Kini, Kenzo semakin terbuka dan boleh menerima kehadiran seekor lagi anak kucing iaitu Debbie dengan penuh kasih sayang.
Di sebalik muka garang, sebenarnya kucing Oyen ini takut gelap.
Justeru, setiap malam Nurulhuda akan menyalakan lampu kecil buat si manjanya itu.

Masalah penghadaman
Kenzo tidak boleh makan sembarangan kerana mengalami masalah penghadaman.
Jika silap makan, najisnya berdarah dan tiada selera makanan.
Selain itu, Kenzo juga mempunyai alergi terhadap ikan dan hanya makan makanan khas berperisa ayam.
Pernah sesat
Kenzo pernah tersesat masuk ke rumah jirannya di tingkat bawah.
Pengalaman buruk itu membuatkan si comel ini tidak berani berjalan tanpa pemiliknya.
“Setiap kali dibawa berjalan-jalan di taman, Kenzo berjalan perlahan sambil memandang ke kiri dan kanan bagi memastikan saya sentiasa ada.
“Saya tidak pasangkan tali kerana ia tidak selesa dan meronta minta dibuka,” katanya.










