GEORGE TOWN: Seorang pengutip besi buruk mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merompak seorang wanita warga Sepanyol, bulan lepas.
Tertuduh, N.Kannan, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak sebuah beg milik Sheyla Rodriguez Navarro di hadapan Premis Grand Vege Creative, Lorong Aboo Sittee, George Town pada pukul 6.15 pagi, 30 September lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun selain dikenakan hukuman denda atau sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Puteri Nor Nadia bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan lelaki tersebut telah membuat pengakuan bersalah.
Mahkamah seterusnya memutuskan bahawa tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh selain menetapkan 12 November depan sebagai tarikh lantikan peguam dan serahan dokumen kes tersebut.
Difahamkan, ketika kejadian, tertuduh sedang mengutip besi buruk di lokasi untuk dijual bagi membeli dadah sebelum ternampak mangsa dan merompak beg wanita itu yang mengandungi wang tunai serta pasport. – UTUSAN










