CHICAGO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa supaya beberapa pemimpin Parti Demokrat di negeri Illinois dipenjarakan kerana didakwa menghalang operasi besar-besaran pengusiran pendatang yang sedang dijalankan oleh pentadbirannya.
Gesaan itu dibuat sehari selepas kira-kira 200 anggota tentera dari Texas tiba di Illinois bagi memperkukuh operasi diketuai Jabatan Kastam dan Penguatkuasaan Imigresen (ICE).
Chicago, bandar terbesar di negeri itu dan ketiga terbesar di AS, kini menjadi medan utama konfrontasi antara kerajaan persekutuan dan pihak negeri berikutan tindakan Trump untuk mempercepatkan proses pengusiran jutaan pendatang tanpa izin langkah yang mencetuskan tuduhan pencabulan hak asasi serta beberapa siri tuntutan mahkamah.
“Datuk Bandar Chicago patut dipenjara kerana gagal melindungi pegawai ICE! Gabenor Pritzker juga!” tulis Trump dalam hantaran di platform media sosialnya, Truth Social, semalam.
Pegawai negeri Illinois menegaskan pasukan keselamatan tempatan mencukupi untuk menangani keadaan.
Namun, Trump mendakwa kehadiran tentera perlu bagi memastikan keselamatan pegawai persekutuan, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu tentang kecenderungan autoritarian dalam pemerintahannya.
Selain di Illinois, tentera juga telah dikerahkan ke Los Angeles dan Washington, D.C.
Bangunan penguatkuasaan imigresen di pinggir Chicago turut menjadi lokasi pertembungan antara pegawai persekutuan dan penunjuk perasaan.
“Kami langsung tidak menerima sebarang makluman daripada kerajaan persekutuan mengenai pergerakan tentera mereka.
“Saya sukar mempercayai saya perlu menyebut ‘pergerakan tentera’ di sebuah bandar AS, tetapi inilah yang sedang berlaku,” kata Gabenor Illinois, JB Pritzker kepada media.
Pihak negeri Illinois dan bandar Chicago kini memohon perintah mahkamah bagi mengisytiharkan penempatan anggota Pengawal Kebangsaan itu sebagai tidak sah, dengan pendengaran dijadualkan pada Khamis ini. -AGENSI










