KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak kelapan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir memberitahu bahawa remaja terbabit merindui rakan-rakannya di sekolah rendah.
Perkara itu diketahuinya ketika membaca diari Zara Qairina dengan izin remaja terbabit.
Kata kanak-kanak terbabit, Zara Qairina akan membuat catatan di dalam diari sekiranya sedang tertekan dan menulis dalam keadaan laju.
Bagaimanapun, dia tidak mengetahui perkara menyebabkan Zara Qairina tertekan kerana pelajar itu tidak pernah mengadu bahawa dia dibuli, mengalami tekanan belajar, keletihan, diganggu dan melihat dimarahi oleh pelajar lain.
Pada petang 15 Julai lalu, sekitar pukul 4 petang, saksi memberitahu dia ada melihat Zara Qairina di dalam dorm mereka, namun dia tidak menegur kerana pada ketika itu pelajar Tingkatan Satu itu dilihat muram dan bimbang dimarahi.
Pada malam tarikh sama, saksi itu ada melihat Zara Qairina ke dorm A3-6 namun pada mulanya tidak mengetahui sebab remaja terbabit dipanggil ke bilik berkenaan sebelum diberitahu pelajar lain mengenai kes kehilangan barang.
Menurut keterangan saksi sebelum ini, Zara Qairina disoal beberapa pelajar senior di dorm A3-6 sebelum kembali ke dormnya, A3-5 dalam keadaan menangis dan terganggu.
Kata saksi kanak-kanak kelapan itu, Zara Qairina kembali ke dorm sekitar pukul 11 malam dalam keadaan marah sebelum baring di hadapan almarinya dan menangis sebelum menjerit menjerit sambil bercakap ‘aku nda curi bah, sial’.
Jelas saksi itu, tiada rakan lain memujuk atau menenangkan Zara sebab ada pelajar cakap ‘Kasi biar dulu dia, kasi tenang dulu.’
Kanak-kanak terbabit memberitahu itu merupakan kali pertama dia melihat Zara Qairina dalam keadaan itu sejak mereka tinggal di dorm sama.
Selepas lampu dorm dipadamkan, saksi kanak-kanak tu memberitahu Zara Qairina masih duduk di lokasi sama dan kemudian datang ke tempatnya serta beberapa pelajar lain untuk meminjam gunting sebelum dilihat keluar dari dorm.
Katanya, dia gagal meminjamkan gunting kepada Zara Qairina kerana tidak mempunyainya dan tidak mengetahui apa berlaku selepas itu kerana terus tidur.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung hari ini dengan keterangan saksi kanak-anak ke-10.
Sementara itu dalam prosiding berbeza, seorang jurutera berusia 27 tahun ditahan reman empat hari kerana membuat ugutan bunuh terhadap peguam kepada salah seorang remaja didakwa mengeluarkan kata-kata mencela kepada Zara Qairina, Datuk Ram Singh.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Wan Fara Wan Ghazali selepas permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ram ketika ditemui media memaklumkan antara perkataan yang diterimanya melalui mesej ugutan tersebut ialah, ‘Nanti kamu mati disoal Tuhan’ dan ‘Biar kau mati katak.’-UTUSAN










