Adrenalin melonjak di Wetland Adventure Park

Adrenalin melonjak di Wetland Adventure Park

Rock climbing nampak mudah namun memerlukan stamina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai penggemar aktiviti ekstrem, saya berkesempatan meluangkan masa seharian di Putrajaya Wetland Adventure Park baru-baru ini.

Setiap aktiviti di situ memerlukan keberanian untuk peserta melawan rasa gayat dan mencabar adrenalin kerana kesemua aktiviti melibatkan ketinggian.

Aktiviti pertama yang saya cuba adalah rock climbing. Saya memilih aktiviti itu dahulu, kerana ia nampak mudah.

Pada mulanya, saya berasa yakin dapat menamatkan pendakian hingga ke puncak kerana jika dilihat dari bawah, dinding tersebut seolah-olah mudah ditawan.

Setelah mula memanjat, barulah saya sedar betapa mencabarnya untuk mendapat rentak yang sesuai memandangkan setiap langkah memerlukan fokus dan kekuatan fizikal.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk berputus asa kerana tidak mampu bertahan mengekalkan posisi yang betul untuk sampai ke puncak.

TERJUNAN BERANI

Kemudian, saya beralih kepada cabaran leap of faith, iaitu salah satu aktiviti yang boleh dianggap sebagai ujian paling besar dalam mengawal rasa takut akan ketinggian.

Aktiviti tersebut menuntut peserta melompat dari platform setinggi 15 meter dengan hanya bergantung pada tali keselamatan.

Peserta tidak perlu risau, kerana di bawah platform turut disediakan tilam bagi tujuan keselamatan serta membantu peserta mendarat dengan baik.

Ketika berdiri di tepi platform, jantung saya berdegup kencang dan kaki pula terasa berat untuk melangkah.

Waktu itu, terdapat dua atau tiga orang peserta menunggu giliran untuk terjun, namun saya tidak peduli kerana masih bergelut dengan rasa takut yang sedang menghantui diri.

Setelah mengumpul keberanian, akhirnya, saya melompat ke bawah. Dengan berpaut pada tali keselamatan, terjunan ke bawah tidak begitu terasa.

Sebaik sahaja mendarat pada tilam yang disediakan di bawah, saya berasa sangat lega.

Ia membuatkan saya sedar, keberanian hanya akan hadir apabila berjaya melawan rasa takut.

Perkara itu terus membuatkan saya berani untuk melakukan abseiling pula.

Pada mulanya, saya berasa agak kekok kerana perlu mengawal tali dengan teknik tertentu sambil tubuh condong ke belakang.

Rasa gayat mula hadir, namun berjaya dikawal dengan pergerakan badan sekaligus menjadikan aktiviti tersebut lebih menyeronokkan.

Ketika menuruni dinding secara perlahan-lahan, saya berkesempatan melihat pemandangan hijau di sekitar.

Sebagai penutup, saya mencuba flying fox yang saya kira paling menyeronokkan pada hari itu.

Dari atas platform, saya dipasangkan dengan tali keselamatan sebelum dilepaskan untuk meluncur laju ke seberang.

Deruan angin yang kuat, menjadikan tubuh terasa seakan sedang melayang di udara.

Apatah lagi, permainan sepanjang 420 meter itu memberi kesempatan kepada peserta untuk menikmati pemandangan indah Putrajaya Wetland Adventure Park dari atas.

Jika tidak silap, berat minimum yang cadangkan adalah 30 kilogram manakala berat maksimum sekitar 110 kilogram untuk bermain flying fox.

Lebih menarik, setiap peserta diberikan sijil penghargaan sebagai tanda kenangan dan pencapaian kerana berjaya menamatkan kesemua aktiviti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×