SOAL ucapan penting seperti pendapat pujangga Hamka: jika burung boleh dikenal dengan bunyinya, manusia dikenal dengan ucapannya.
Sebelum masuk gelanggang bawa sesuatu isu itu, berlarilah dalam kepala apa yang wajar diucapkan. Dan bagaimana hendak diucapkan sesuatu topik itu.
Orang yang bercakap biasanya ‘bantai’ sahaja apa yang terfikir. Masalahnya ialah apabila orang lain yang bagi maklumat atau tulis ucapan dan orang lain pula yang membacanya – kadangkala akan timbul kejanggalan.
Bak kata Presiden Abraham Lincoln: “In view of the inability of others to fathom my style and my thinking, I propose to write up and utter my own speech.” (Memandangkan ketidakupayaan orang lain memahami gaya dan pemikiran saya, maka saya menulis dan mengolah ucapan saya sendiri)
LOGOS
Perjumpaan dengan orang ramai untuk menjawab sesuatu isu penting, kerap berteraskan prinsip logos, etos dan patos – teori ahli falsafah Yunani, Aristotle.
Dalam soal ini, bukan patos (emosi) tetapi logos atau logik serta wibawa etos seseorang yang bercakap itu mustahak.
Maklumat yang disalurkan mengenai isu itu mesti tepat, jujur dan telus. Bukannya kenyataan tempelan tanpa dalil-dalil yang konkrit. Selain testimoni, statistik serta kutipan-kutipan pakar berwibawa, teknik penerangan retorik yang efektif juga memainkan peranan utama.
Etos, menurut seorang lagi ahli falsafah, Socrates, bererti membangunkan kredibilitinya dalam hal tertentu sehingga membuatkan khalayak percaya. Dia yang menjelaskan sesuatu isu, mestilah tidak diragui karektornya. Bukan sebarang orang atau individu boleh bercakap, melainkan dengan integriti tinggi yang dimilikinya.



Seterusnya, logos adalah isi yang menyangkut pengumpulan fakta. Hal ini menjadi alasan mengapa tindakan harus dilakukan oleh pendengar.
Logos atau boleh dikatakan juga ilmu, memberikan pemikiran dan pengertian. Dengan begitu, khalayak akan memahami alasan logik (masuk akal) mengapa sesuatu tindakan itu dilakukan. Akhirnya, khalayak boleh memahami sesuatu tindakan itu, sekali gus menjadikan tindakan itu miliknya.
Logos seharusnya lebih tinggi (dari patos dan etos) kerana majoriti berkehendakkan maklumat yang dipenuhi hujah-hujah konkrit. Tetapi bukan berdasarkan patos atau retorik kosong.
Dalam kempen pilihan raya misalnya, seseorang jurukempen atau penceramah akan tampil dengan segala dalil, fakta dan hujahnya untuk ‘membuktikan’ atau kalau ikut gaya pembangkang, ‘menghalalkan’ sesuatu dakwaan. Ini sehinggakan khalayak ‘tercengang, terdengar dan terasa logik’ di benak fikiran mereka.
Etos pula menyaksikan kewibawaan dan kredibiliti jurukempen, berserta ilmu dan pengetahuannya dalam isu terbabit.
Patos akan menyingkap bagaimana si jurukempen menggunakan segala omongan mereka dengan melontarkan contoh untuk meyakinkan khalayak – yang kemudian akan mencari lebih terperinci hal-hal semacam ini.
Walaupun secara prinsipnya ahli politik tertentu gemarkan tohmahan, fitnah atau spin (putar belit), namun tidak ketahuan sejauh mana khalayak yang mendengar dan memerhati, menerima sesuatu hujah yang disampaikan – auta atau fakta?
Sejarah, biasa membuktikan lagi lama seseorang itu berkhidmat, lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risikonya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul.
TELINGA NIPIS
Orang keliling mungkin menyanjung saban hari dengan ungkapan seperti “Datuk hebat…mesti sambung lagi (pegang jawatan atau menjadi calon)”. Namun, ada ketikanya seseorang penyandang itu berpuas hati dengan rekod, “cukuplah saya telah tunaikan tanggungjawab memupuk ‘benih baharu’ supaya menjadi pokok rendang yang menaungi perjuangan.”
Dalam mana-mana karier, waima apa lagi politik, sebenarnya daya tahan amat penting sekali. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur, mudah melenting.
Reaksi terhadap cakap orang atau penyampaian perlu ditapis dan dihalusi sebelum diterjemahkan kepada tindak balas.
Seseorang yang memegang jawatan kanan perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi, termasuk kenyataan kepada media atau pandangan semasa berceramah. Ada belaka padahnya yang buruk.
Hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca.
Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang harus tidak dibuat kerana nanti orang akan nampak. Atau orang akan mudah bertindak balas. Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang membaling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.
Dulu kawan, kini jadi lawan sebenarnya tema yang dialami oleh orang politik. Lantaran politik tiada Perintah Amnya seperti yang ada pada penjawat Perkhidmatan Awam kerajaan, banyak pemimpin akhirnya bertembung dengan mereka yang dulunya kawan mereka atau penyokong mereka.
Seorang penulis, Stan Moore menukilkan: “Hanya kerana kebenaran tidak kelihatan, tidak bermakna hal itu palsu. Hanya kerana kenyataan tidak dirasai, tidak bermakna perkara itu tidak wujud.”
Ini maknanya persepsi. Tetapi apa yang rakyat melihat dan mendengar itulah yang dicakapkan. Jadi, persepsi harus ditangani dengan cermat dan bijaksana.
Cuma, sebahagian orang mengambil sikap tidak menjawab. Atau, menjawab dan mengambil sikap secara defensif. Sedangkan dalam strategi politik apa yang harus dilakukan ialah parti itu harus menyerang pihak yang menyerangnya.
Ini memang ‘seni’. Ada yang sering kali berlagak sinis dan membuat lawak jenaka terhadap ucapan-ucapannya sendiri sehingga membuatkan orang tergelak. Mesej yang menyebabkan orang ketawa ini mudah diterima oleh sebilangan orang walaupun serangan yang begitu keterlaluan dan bertubi-tubi ini sudah banyak kali didengar oleh masyarakat.
Sekadar renungan, saya petik catatan Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam bukunya Kabinet 1Malaysia: Mengimbas Kembali Tadbir Urus Kabinet (2006) mengenai kisah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memulakan hari pertama beliau melangkah masuk mesyuarat Kabinet selepas menggantikan Tun Hussein Onn pada Jun 1981:
“Sambil mengeluarkan sebuah buku nota kecil, Dr. Mahathir memulakan agenda hari itu dengan memberi syarahan pengenalan ringkas apa yang boleh dan tidak boleh, seperti Ten Commandments kepada menteri-menteri di Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jalan Dato’ Onn.
“Antaranya, jangan menggunakan pengaruh kementerian untuk mendapatkan sesuatu untuk saudara-mara, kroni, apatah lagi untuk diri sendiri. Juga, jangan menunjukkan kekayaan mereka. Dalam hal ini, isteri-isteri tidak boleh kelihatan menonjol dengan berlian dan barang kemas.
“Para menteri harus mempelajari kemahiran asas pengurusan supaya kementerian di bawah beliau boleh berjalan lancar seperti sebuah syarikat yang cekap,” demikian nukilan Rais yang berpengalaman berkhidmat di bawah enam Perdana Menteri.











