‘Trump layak terima Hadiah Nobel jika berjaya halang China serang Taiwan’ - Utusan Malaysia

‘Trump layak terima Hadiah Nobel jika berjaya halang China serang Taiwan’

DONALD TRUMP selepas berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Presiden Taiwan, Lai Ching-te menyatakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump wajar menerima Hadiah Keamanan Nobel sekiranya beliau berjaya meyakinkan Presiden China, Xi Jinping untuk meninggalkan sebarang niat penggunaan kekerasan terhadap Taiwan.

Dalam wawancara bersama rancangan radio konservatif Amerika, The Clay Travis and Buck Sexton Show yang disiarkan di lebih 400 stesen radio, Lai berkata Trump mampu memainkan peranan besar dalam menjamin keamanan di rantau Asia Pasifik.

“Kami berharap untuk terus menerima sokongan daripada Presiden Trump. Jika beliau dapat meyakinkan Xi Jinping agar selama-lamanya meninggalkan sebarang bentuk pencerobohan ketenteraan terhadap Taiwan, beliau sememangnya layak menerima Hadiah Keamanan Nobel,” katanya.

Trump sebelum ini pernah mendakwa Xi telah memberitahunya China tidak akan menyerang Taiwan sepanjang beliau menjadi presiden Amerika.

Trump, yang kini kembali memegang tampuk pemerintahan di Washington, dijangka bersemuka dengan Xi dalam mesyuarat pemimpin Asia Pasifik di Korea Selatan pada hujung bulan ini.

Lai turut menggesa Trump agar lebih berhati-hati terhadap tindakan China, sambil menegaskan Beijing kini semakin giat menjalankan latihan ketenteraan berskala besar di Selat Taiwan serta memperluas kekuatan tenteranya di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

“Xi bukan sekadar meningkatkan kehadiran ketenteraan di sekitar Taiwan, tetapi sedang memperkukuh kedudukan China untuk mencabar Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa,” jelas beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden Taiwan semalam.

Beberapa jam selepas kenyataan itu disiarkan, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan 23 pesawat pejuang dan dron China dikesan menjalankan rondaan kesiapsiagaan tempur bersama kapal perang Beijing di sekitar pulau tersebut.

Lai turut memberi amaran ancaman China bukan sahaja menyasarkan pengilhakan Taiwan, tetapi juga boleh mengancam keselamatan serantau dan kepentingan Amerika sendiri.

“Sekiranya Taiwan jatuh ke tangan China, Beijing akan memiliki kekuatan yang lebih besar untuk mencabar Amerika dan menggugat tatanan antarabangsa berasaskan undang-undang,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×