PETALING JAYA: Penubuhan jabatan solusi di setiap bank dengan membabitkan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mampu membantu mengurangkan jumlah individu muflis.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, jabatan tersebut akan bertindak sebagai perunding kepada peminjam yang berdepan masalah kewangan terutama akibat penularan Covid-19 tanpa membabitkan tindakan keras termasuk pengisytiharan muflis.
Selain itu katanya, jabatan yang dipantau BNM dan Kementerian Kewangan itu juga perlu bertindak dengan lebih adil tanpa memberi tekanan kepada peminjam.
“Sepatutnya perlu ada satu jabatan solusi yang menjadi perunding antara peminjam dan pihak bank. Pastikan peminjam tidak diambil tindakan sewenang-wenangnya.
“Ini kerana banyak peminjam yang terhimpit pada masa sekarang bukan kerana pilihan sebaliknya kerana terdesak lebih-lebih lagi dalam peningkatan situasi Covid-19 sekarang dan bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Jabatan Insolvensi mendedahkan jumlah individu yang diisytiharkan muflis meningkat lebih lima kali ganda dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini susulan penularan Covid-19.
Tambah Rosland, usaha tersebut juga perlu disegerakan tanpa mengira sama ada bersifat sementara atau sebaliknya lebih-lebih lagi sekiranya pemberian moratorium tidak diberikan dalam pelaksanaan PKP secara penuh fasa satu bermula esok sehingga 14 Jun ini.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, peningkatan kes secara mendadak sama ada membabitkan firma atau syarikat merupakan petanda jelas kegawatan ekonomi sesebuah negara.
Menurutnya, kesan domino akibat peningkatan kes muflis akan merencatkan dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi.
“Syarikat dan individu akan mengurangkan perbelanjaan, pinjaman untuk pelaburan, dan perbelanjaan yang berkurangan memberi kesan kepada perniagaan lain dan secara keseluruhannya ekonomi makro akan terjejas.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) boleh menyusun kembali hutang yang ditanggung dan menyelesaikan di luar mahkamah bersama institusi kewangan. Malah institusi seperti lembaga zakat boleh memainkan peranan membantu peminjam yang terkesan,” jelasnya. – UTUSAN











