WASHINGTON: Laman berita Amerika Syarikat (AS), Axios, melaporkan Presiden AS, Donald Trump menegur keras Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu pada Jumaat lalu.
Menurut laporan tersebut, Trump menggunakan bahasa yang tegas selepas Netanyahu memberikan reaksi pesimis terhadap maklum balas Hamas berhubung cadangan gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dikemukakan Rumah Putih.
Memetik sumber pegawai AS, Axios melaporkan Trump menghubungi Netanyahu selepas menerima maklum balas yang disifatkannya sebagai positif bersyarat daripada Hamas terhadap pelan damainya.
Kumpulan itu dilaporkan bersedia membebaskan semua tebusan dengan syarat Israel menghentikan sepenuhnya operasi ketenteraan dan menarik keluar tenteranya dari Semenanjung Gaza, sambil meminta rundingan lanjut mengenai beberapa butiran kecil.
Namun, seorang pegawai AS memberitahu Netanyahu menyambut dingin respons Hamas itu dengan berkata:
“Ini bukan sesuatu yang patut diraikan, dan ia sebenarnya tidak bermakna apa-apa.”
Kenyataan itu dilaporkan menimbulkan kemarahan Trump, yang membalas dengan nada tajam:
“Saya tidak faham kenapa awak selalu begitu negatif. Ini satu kemenangan. Terimalah.”
Seorang lagi sumber AS mengesahkan pertukaran kata-kata tersebut mencerminkan ketegasan Trump untuk menolak keraguan Netanyahu dan meyakinkannya agar menamatkan perang sekiranya Hamas benar-benar bersedia mencapai persetujuan.
Sementara itu, Netanyahu dalam perbincangan tertutup dilaporkan tetap berpendapat maklum balas Hamas itu sebenarnya membawa maksud penolakan tidak langsung terhadap pelan damai yang dicadangkan Washington. – AGENSI











