Trump dakwa Hamas bersetuju dengan 'beberapa perkara penting' dalam pelan damai Gaza - Utusan Malaysia

Trump dakwa Hamas bersetuju dengan ‘beberapa perkara penting’ dalam pelan damai Gaza

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yakin perjanjian damai antara Israel dan Hamas mampu dicapai, susulan persetujuan kumpulan pejuang Palestin itu terhadap beberapa perkara penting dalam rundingan yang berlangsung.

Ketika ditanya oleh pemberita di Pejabat Oval mengenai kemungkinan wujud pra-syarat seperti keperluan Hamas melucutkan senjata, Trump menjawab beliau mempunyai “garis merah” tertentu yang mesti dipatuhi sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan.

“Saya ada garis merah; jika syarat tertentu tidak dipenuhi, kita tidak akan teruskan,” katanya.

Namun, beliau berkata, semua pihak berasa di landasan yang sepatutnya dan Hamas sudah bersetuju dengan beberapa perkara yang amat penting.

Trump turut menyatakan keyakinannya terhadap prospek mencapai perjanjian damai, khususnya selepas delegasi Hamas dan Israel memulakan rundingan tidak langsung di Mesir.

Rundingan itu bertujuan menamatkan konflik di Gaza berdasarkan pelan damai 20 perkara yang dikemukakan oleh pentadbiran Trump.

“Saya fikir kita akan berjaya capai perjanjian. Sukar untuk saya menyatakannya memandangkan kegagalan selama bertahun-tahun, tetapi kali ini saya cukup yakin.

“Kita akan ada perjanjian Gaza, saya hampir pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Trump turut menafikan laporan media yang mendakwa beliau menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersikap negatif terhadap proses rundingan tersebut.

Sebaliknya, Trump menegaskan Netanyahu bersikap “sangat positif” terhadap usaha damai yang dijalankan dan memberikan sokongan kepada inisiatif tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×