KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa lebih 100,000 komponen buatan asing, termasuk mikrokomputer yang dihasilkan di Britain, digunakan dalam peluru berpandu dan dron Russia.
Menurut Zelensky, siasatan pihak berkuasa Ukraine mendedahkan komponen berasal dari negara-negara sekutu seperti Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat turut dikesan.
Justeru itu, beliau menggesa supaya sekatan tambahan yang lebih berkesan dikenakan terhadap Moscow bagi mengekang pembuatan senjata berterusan oleh Russia.
Jabatan Perniagaan dan Perdagangan Britain (DBT) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya kini memperhebat tindakan terhadap syarikat-syarikat tempatan yang produknya dipercayai masih memasuki rangkaian bekalan ketenteraan Russia melalui pihak ketiga.
“Kami memandang serius laporan mengenai barangan keluaran syarikat Britain yang ditemui dalam senjata Rusia,” kata jurucakap DBT.
Katanya, kerajaan Britain tmengharamkan eksport ribuan jenis barangan ke Russia, termasuk semua peralatan medan perang yang diminta oleh Ukraine.
Setakat ini, lebih 20 bilion pound (AS$26.9 bilion) dagangan antara United Kingdom dan Russia telah tertakluk kepada pelbagai sekatan. Individu atau syarikat yang melanggar sekatan ini boleh dikenakan denda besar atau tindakan undang-undang.
Dalam satu kenyataan di platform X, Zelensky menulis ‘mikrokomputer bagi kawalan penerbangan dron dihasilkan di United Kingdom’ dan menekankan kepentingan menutup semua saluran yang cuba mengelakkan sekatan antarabangsa.
Beliau turut menyatakan negara-negara yang menyokong Ukraine kini mempunyai data lengkap mengenai setiap syarikat dan produk yang masih digunakan dalam pengeluaran senjata Russia.











