BELANJAWAN 2026 akan dibentangkan Jumaat ini dijangka memperuntukkan lebih RM421 bilion, dengan perbelanjaan pembangunan diunjur RM86 bilion hingga RM89 bilion, selaras matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Harapan rakyat semakin tinggi agar kerajaan benar-benar menjiwai aspirasi mereka yang melibatkan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta peralihan ekonomi negara ke arah digital dan hijau.
Justeru, belanjawan yang akan dibentangkan perlu bersifat inklusif, progresif dan berpandangan jauh bagi memastikan ia selari dengan aspirasi rakyat.
Isu kos sara hidup kekal sebagai perkara utama yang membelenggu rakyat. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar inflasi purata 2024 berada sekitar 2.5 peratus, dengan harga makanan dan minuman mencatatkan kenaikan tertinggi.
Golongan berpendapatan rendah dan sederhana paling terkesan kerana sebahagian besar perbelanjaan tertumpu keperluan asas seperti beras, ayam, ikan, minyak masak dan utiliti.
Oleh itu, Belanjawan 2026 perlu memberi fokus kepada mekanisme pengawalan harga dan subsidi bersasar agar bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan. Penghapusan subsidi pukal perlu digantikan dengan subsidi bersasar yang lebih cekap, sekali gus mengurangkan ketirisan.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu melaksanakan strategi jangka panjang untuk menstabilkan rantaian bekalan makanan tempatan melalui dasar pertanian moden, automasi dan galakan pelaburan dalam teknologi agromakanan.
Selain kos sara hidup, peluang pekerjaan juga menjadi aspirasi besar rakyat. Kadar pengangguran pada suku kedua 2025 mencatatkan 3 peratus, dengan kadar pengangguran belia lebih tinggi sekitar 10.5 peratus.
Keadaan ini menunjukkan pasaran buruh masih berdepan cabaran untuk menyediakan pekerjaan berkualiti, khususnya dalam sektor teknologi dan industri baharu.
Belanjawan ini perlu terus menyediakan insentif untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, insentif cukai kepada syarikat yang melaksanakan latihan peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula kemahiran pekerja wajar diperkenalkan bagi memastikan tenaga kerja tempatan tidak ketinggalan. Usaha ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi tetapi juga memberi peluang pekerjaan lebih baik kepada rakyat.
Pendidikan pula merupakan kunci utama bagi melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing. Belanjawan 2026 perlu memperkukuh peruntukan untuk pendidikan inklusif yang merangkumi infrastruktur sekolah luar bandar, pembiayaan pendidikan tinggi serta program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dipacu industri.
Statistik menunjukkan hanya sekitar 15 peratus pelajar lepasan menengah menyambung pengajian dalam bidang TVET, sedangkan permintaan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal semakin meningkat. Oleh itu, kerajaan wajar menyalurkan dana tambahan kepada institusi, memperluas kerjasama dengan industri, serta memberi insentif kepada majikan yang mengambil graduan TVET.
Dalam konteks kesihatan pula, rakyat mengharapkan sistem penjagaan kesihatan awam yang lebih cekap, mesra pengguna dan berdaya tahan. Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan hospital awam masih mengalami kesesakan pesakit dengan nisbah doktor kepada penduduk sekitar 1:406, iaitu lebih rendah berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:400.
Oleh itu, Belanjawan 2026 perlu meningkatkan peruntukan kepada sektor kesihatan awam termasuk menambah bilangan fasiliti kesihatan, mempercepatkan transformasi digital kesihatan seperti teleperubatan serta menambah baik kebajikan dan imbuhan kepada petugas barisan hadapan.
Rakyat mahu akses kepada rawatan berkualiti tanpa perlu menanggung kos yang membebankan. Belanjawan yang responsif terhadap tuntutan ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Selain itu, rakyat juga mahukan belanjawan yang menyokong agenda pembangunan mampan dan peralihan kepada ekonomi hijau untuk kehidupan yang lebih sejahtera. Malaysia beriltizam untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Aspirasi rakyat kini semakin terarah kepada gaya hidup lestari, tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan pencemaran.
Belanjawan 2026 perlu menyediakan peruntukan dan insentif bagi mempercepatkan peralihan tenaga hijau termasuk tenaga solar, hidro dan biojisim.
Dalam masa sama, dana khas untuk galakan penggunaan kenderaan elektrik (EV), pengangkutan awam mesra alam serta program kitar semula perlu disediakan.
Sementara itu, aspek kesejahteraan sosial tidak boleh diketepikan. Aspirasi rakyat bukan sahaja tertumpu pada isu ekonomi tetapi juga jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh. Golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal memerlukan perhatian khusus.
Laporan menunjukkan menjelang 2030, Malaysia bakal menjadi negara menua dengan hampir 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas. Justeru, Belanjawan 2026 perlu memperkenalkan pelan perlindungan sosial yang lebih komprehensif merangkumi penjagaan warga emas, elaun penjaga serta pusat komuniti setempat.
Pada masa sama, sistem perlindungan sosial seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu diperkukuh agar pekerja dalam sektor tidak formal, termasuk ekonomi gig turut mendapat perlindungan sewajarnya.
Rakyat ingin melihat kerajaan dapat memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
ANTARABANGSA
Aspirasi rakyat juga melibatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Dalam era globalisasi dan persaingan ekonomi serantau, rakyat mahu melihat Malaysia muncul sebagai negara yang kompetitif, progresif dan dihormati.
Belanjawan 2026 perlu memperuntukkan dana untuk meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa melalui penglibatan lebih aktif dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta kerjasama ekonomi serantau lain.
Sementara, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara perlu dipertingkat dengan akses pembiayaan lebih mudah, latihan digitalisasi serta bantuan eksport. Aspirasi rakyat untuk melihat PMKS mampu bersaing di pentas global, sekali gus menyumbang pertumbuhan ekonomi mapan.
Belanjawan 2026 perlu disertakan dengan mekanisme pemantauan dan pelaporan yang lebih telus seperti portal belanjawan interaktif yang membolehkan rakyat menjejaki peruntukan dan pelaksanaan projek secara masa nyata.
Aspirasi rakyat adalah untuk melihat belanjawan yang bukan sahaja menyelesaikan masalah jangka pendek tetapi juga membina asas kukuh untuk generasi akan datang.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










