LHASA: Usaha menyelamat giat dijalankan di kawasan pergunungan Everest selepas ribut salji melanda bahagian timur gunung tertinggi dunia itu, menyebabkan hampir 1,000 pendaki dan pelancong terperangkap di kawasan perkhemahan di Tibet.
Menurut laporan media rasmi China, ratusan pendaki yang terkandas akibat ribut salji berhampiran muka timur Gunung Everest di wilayah Tibet berjaya diselamatkan pada Ahad selepas operasi besar-besaran dilancarkan pihak berkuasa.
Setakat semalam, seramai 350 orang telah berjaya tiba di pekan kecil Qudang, manakala lebih 200 lagi telah berjaya dihubungi dan sedang dalam proses untuk dibawa keluar, lapor China Central Television (CCTV).
Ketika kejadian, ratusan pengunjung sedang berada di Lembah Karma, laluan utama menuju ke muka timur Kangshung Gunung Everest, sempena cuti umum lapan hari sempena Hari Kebangsaan China.
Salji tebal mula turun pada malam Jumaat dan berterusan hingga Sabtu, menjadikan suhu di kawasan pergunungan yang terletak pada ketinggian purata 4,200 meter itu menjunam secara mendadak.
“Keadaan terlalu sejuk dan basah, risiko hipotermia sangat tinggi,” kata Chen Geshuang, salah seorang daripada 18 ahli kumpulan pendaki yang berjaya sampai ke Qudang.
“Cuaca tahun ini benar-benar luar biasa. Pemandu arah kami berkata dia tidak pernah melihat cuaca sebegini pada bulan Oktober. Semuanya berlaku terlalu pantas,” tambahnya.
CCTV melaporkan, baki pendaki yang masih berada di kawasan pergunungan dijangka tiba di Qudang secara berperingkat dengan bantuan pasukan penyelamat yang dikerahkan oleh kerajaan tempatan.
Ratusan penduduk kampung dan anggota penyelamat turut digerakkan bagi membersihkan laluan yang ditimbus salji tebal, menurut laporan awal agensi Jimu News.
Jimu News menganggarkan hampir 1,000 individu terperangkap, namun belum dapat dipastikan sama ada pemandu arah tempatan dan kru sokongan ekspedisi turut termasuk dalam angka itu.
Setakat ini juga tidak diketahui sama ada pendaki di kawasan muka utara Everest yang turut terletak di Tibet turut terjejas oleh ribut tersebut.
Chen berkata kumpulannya turun dari gunung pada Ahad selepas mengharungi malam ribut salji disertai guruh dan kilat.
“Sebaik sampai di kampung, kami disambut dengan makanan panas. Baru terasa kehangatan semula,” katanya.
Gunung Everest bahagian utara sering menjadi tumpuan pelancong kerana akses jalan berturap yang mudah, terutamanya pada bulan Oktober apabila langit biasanya cerah selepas berakhirnya musim monsun India.
Bagaimanapun, penjualan tiket dan kemasukan ke kawasan pelancongan Everest ditangguhkan sejak Sabtu lalu, menurut notis rasmi dikeluarkan oleh Syarikat Pelancongan Daerah Tingri menerusi akaun WeChat. -AGENSI










