Angka korban sekolah Indonesia runtuh cecah 49 orang - Utusan Malaysia

Angka korban sekolah Indonesia runtuh cecah 49 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDOARJO: Usaha mencari dan menyelamat mangsa runtuhan bangunan dewan solat sebuah sekolah agama di Sidoarjo, Jawa Timur, menemukan lebih banyak mayat sepanjang hujung minggu lalu, menjadikan jumlah korban tragedi itu meningkat kepada 49 orang pelajar.

Menurut Lembaga Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), pasukan penyelamat menggunakan jentera berat, gergaji pemotong konkrit dan tangan kosong bagi mengalihkan timbunan runtuhan dalam usaha mencari 23 pelajar yang masih hilang.

Bangunan berusia lebih 100 tahun di Pondok Pesantren Al-Khoziny itu runtuh pada 30 September lalu, menimpa ratusan pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 19 tahun.

Hanya seorang pelajar dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan, manakala 95 lagi cedera ringan dan telah dibenarkan pulang manakala pelajar lain masih dirawat di hospital akibat kecederaan parah.

Siasatan awal pihak polis mendapati bangunan dua tingkat itu sedang dinaikkan menjadi empat tingkat tanpa permit pembinaan sah, menyebabkan struktur gagal menampung beban.

“Bangunan tersebut tidak memenuhi piawaian keselamatan. Ketika konkrit dituang bagi membina tingkat ketiga, struktur asas tidak mampu menampung beban, lalu keseluruhan bangunan seluas 800 meter persegi runtuh,” jelas pakar pembinaan dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Mudji Irmawan.

Beliau turut menegaskan pelajar sepatutnya tidak dibenarkan berada di dalam bangunan yang masih dalam proses pembinaan.

Ketua Polis Daerah Sidoarjo, Subandi, mengesahkan pihak pengurusan sekolah tidak pernah memohon sebarang permit pembinaan sebelum kerja menaik taraf dimulakan.

“Banyak bangunan tambahan, termasuk di pondok-pondok tradisional di kawasan luar bandar, dibina tanpa permit sah,” katanya kepada Associated Press.

Mengikut Kod Pembinaan Bangunan Indonesia 2002, sebarang kerja pembinaan perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Pemilik bangunan yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda serta hukuman penjara, dan jika pelanggaran itu menyebabkan kematian, hukuman maksimum boleh mencecah 15 tahun penjara serta denda sehingga 8 bilion rupiah (RM2.03 juta).

Ketua Polis Jawa Timur, Nanang Avianto, berkata siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi menentukan sama ada kecuaian pihak sekolah menjadi punca kematian ramai pelajar.

“Kami akan menyiasat kes ini dengan teliti. Pasukan penyiasat turut mendapatkan khidmat pakar kejuruteraan binaan untuk mengenal pasti bentuk kelalaian yang berlaku,” katanya.

Sehingga malam tadi, pasukan penyelamat masih berusaha mencari puluhan lagi pelajar yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan konkrit tebal bangunan madrasah berkenaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×