ATHENS: Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, antara lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan yang dijadual meninggalkan Israel hari ini selepas ditahan ketika menyertai konvoi kapal bantuan ke Gaza yang dipintas tentera rejim itu minggu lalu.
Menurut kenyataan rasmi beberapa kerajaan Eropah semalam, kebanyakan tahanan berkenaan akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara masing-masing.
Mereka yang dibebaskan termasuk 28 warga Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Itali dan sembilan warga Sweden, sementara 21 warga Sepanyol telah pun tiba di Madrid pada Ahad.
Namun, 28 rakyat Sepanyol lagi masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel, menjadikan jumlah sebenar yang dibebaskan masih belum muktamad.
Kesemua mereka menaiki flotila Global Sumud yang disertai 45 buah kapal membawa aktivis dan ahli politik antarabangsa yang berhasrat menembusi sekatan Israel ke atas Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gaza kini berdepan kebuluran teruk akibat sekatan berpanjangan sejak perang tercetus hampir dua tahun lalu.
Tentera Israel memintas kapal terbabit di perairan antarabangsa pada Rabu lalu, dan menurut pegawai Israel, lebih 400 individu atas kapal telah dihalang daripada menghampiri wilayah Palestin tersebut.
Kementerian Luar Itali dan Greece mengesahkan warga mereka yang dibebaskan akan diterbangkan dari Israel ke Athens hari ini.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, dalam kenyataan di platform X berkata, seramai 15 warga Itali itu akan diberikan bantuan logistik sebelum dibawa pulang ke Rom.
Kementerian Luar Perancis pula memaklumkan 28 rakyatnya sebahagian besar daripada 30 warga Perancis yang ditahan Israel turut akan diterbangkan ke Greece.
Sementara itu, media Sweden melaporkan sembilan warganya, termasuk Greta Thunberg, dijangka menaiki penerbangan yang sama ke Athens.
Seramai 26 warga Itali telah dibebaskan lebih awal pada Sabtu lalu, namun kumpulan terakhir seramai 15 orang hanya dibenarkan keluar selepas melalui proses pengusiran secara kehakiman kerana enggan menandatangani borang pelepasan sukarela. -AGENSI










