NEW DELHI: Pihak berkuasa India sedang menyiasat kemungkinan kematian sembilan kanak-kanak di sebuah negeri tengah negara itu berpunca daripada sirap batuk yang mengandungi bahan kimia beracun melebihi had dibenarkan.
Kementerian Kesihatan India dalam satu kenyataan memaklumkan, sampel Coldrif Cough Syrup yang dikeluarkan oleh syarikat Sresan Pharmaceuticals di negeri Tamil Nadu didapati mengandungi bahan diethylene glycol (DEG) pada kadar tinggi selepas diuji pihak berkuasa negeri berkenaan.
“Sampel tersebut didapati mengandungi DEG melebihi paras yang dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
DEG merupakan pelarut toksik yang biasanya digunakan dalam produk industri dan pernah dikaitkan dengan kes keracunan maut di beberapa negara.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas laporan media tempatan mendakwa kematian sembilan kanak-kanak di negeri Madhya Pradesh baru-baru ini mungkin berpunca daripada pengambilan sirap batuk berkenaan.
Siasatan awal Jabatan Makanan dan Ubat-Ubatan Madhya Pradesh terhadap 13 sampel ubat mendapati, tiga daripadanya bebas pencemaran.
Namun, ujian lanjut yang dijalankan pihak berkuasa ubat Tamil Nadu mengesahkan terdapat pencemaran DEG dalam sampel yang diambil terus dari kilang Sresan Pharma di daerah Kanchipuram.
Syarikat farmaseutikal itu setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen yang dihantar melalui e-mel.
Susulan insiden tersebut, kerajaan India melancarkan pemeriksaan terhadap 19 pengeluar ubat di enam negeri bagi mengenal pasti kelemahan dalam kawalan kualiti dan mencadangkan langkah penambahbaikan untuk mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
India sebelum ini pernah berdepan kritikan antarabangsa berhubung kualiti ubat-ubatan keluarannya selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan sirap batuk keluaran sebuah syarikat lain dengan kematian 70 kanak-kanak di Gambia pada tahun 2022, dakwaan yang kemudiannya dipertikaikan oleh kerajaan New Delhi.- AGENSI










